PASTIKAN SEMUA PERISIAN (SOFTWARE) DAN PERISIAN TEGAR (FIRMWARE) DIKEMAS KINI

Perisian dan perisian tegar yang sudah melepasi tarikh akhir terdedah kepada kekurangan ciri-ciri keselamatan yang boleh membuka ruang kepada penggodam untuk mendapatkan akses ke sistem anda. Penggodam bukan sahaja boleh menyerang PC anda malahan penghala rangkaian internet rumah dan juga telefon pintar anda. Walaupun rangkaian IT yang dikendalikan oleh pejabat boleh menangani perkara-perkara kecil untuk anda, tetapi ia menjadi tanggungjawab anda untuk memastikan peranti yang digunakan mempunyai perisian yang dikemaskini sepanjang anda bekerja jarak jauh.

TUKAR KATA LALUAN LAMA ANDA DI SEMUA PLATFORM KEPADA YANG LEBIH SELAMAT

Tukar dan tingkatkan kekuatan kata laluan anda di semua peranti dan akaun berkaitan kerja kepada yang lebih selamat dan terjamin. Maksudnya anda perlu menukar kata laluan kepada sesuatu yang lebih sukar untuk diteka dan tidak melibatkan kombinasi hari lahir, alamat rumah, nama keluarga dan/atau nama binatang peliharaan. Ini adalah perkara pertama yang penggodam bakal lakukan apabila mereka cuba memecahkan kata laluan anda. Jika anda tidak mampu memantau dan mengingati semua kata laluan, anda boleh gunakan aplikasi pengurus kata laluan.

BERHATI-HATI DENGAN SERANGAN MEMANCING DATA

Penjayah siber boleh melakukan serangan memancing data ke atas anda. Antara modus operandinya ialah mereka akan menghantar e-mel kepada anda dan berlakon seolah-olah menjadi seseorang yang anda kenali supaya anda akan membocorkan maklumat atau membuatkan anda untuk klik sesuatu pautan yang boleh memuat naik perisian hasad ke dalam peranti anda. Jangan pandang rendah terhadap mereka – penjenayah siber mampu melakukan serangan memancing data yang canggih sehingga boleh meniru akaun e-mel rasmi. Jika e-mel tersebut kelihatan aneh dan mencurigakan, sila periksa terlebih dahulu dengan pengirim sebenar.

GUNAKAN PENGESAHAN DUA FAKTOR

Cuba gunakan pengesahan dua faktor seboleh yang mungkin pada semua platform untuk membuat penjenayah siber lebih sukar mencuri data dan mengakses ke dalam sistem anda. Pengesahan dua-faktor merupakan langkah tambahan bagi mengesahkan identiti anda sebelum mengakses menggunakan hanya satu kata laluan pada peranti. Walaupun penggodam dapat mengetahui kata laluan anda tetapi dengan menggunakan langkah keselamatan tambahan ini akan memberikan mereka satu lagi lapisan halangan yang lebih sukar untuk mereka memintas.

GUNAKAN PERISIAN ANTIVIRUS

Serangan perisian hasad pada peranti anda akan menjadi satu masalah yang memeningkan dan anda boleh mengelak perkara itu daripada berlaku dengan menggunakan perisian antivirus yang kuat untuk komputer riba dan telefon anda. Ia menjadi pelaburan yang sangat berbaloi untuk membuat anda lebih tenang.

GUNAKAN RANGKAIAN PERIBADI MAYA (VPN)

Walaupun syarikat kebiasaannya mempunyai perkhidmatan VPN mereka sendiri, anda mungkin perlu melabur sejumlah wang jika syarikat anda tidak menyediakannya. Rangkaian Peribadi Maya (VPN) ialah perkhidmatan yang menyediakan rangkaian peribadi yang lebih selamat walaupun disambungkan melalui rangkaian awam kerana lalu lintas data anda akan disulitkan daripada diintip dan diganggu oleh pihak luar.

* * *

Share this post if you liked it and follow us on Facebook, Twitter, and Instagram to stay up to date with the latest tips on Communications & Multimedia.

~consumerinfo.my :: another website by Communications & Multimedia Consumer Forum of Malaysia (CFM)~