Home / CFM Buzz / Interaksi / ASHLEY CHAN – PENYAMPAI RADIO CAPITAL FM

ASHLEY CHAN – PENYAMPAI RADIO CAPITAL FM

~Penyanyi. Komposer. Penari balet. Pemuzik. Gila kerja dan suara di sebalik radio Capital FM ini adalah milik Ashley Chan, nama yang sedang meningkat naik. Ashley meluangkan masa untuk berkongsi tentang apa yang membuatnya terus menjadi salah satu tulang belakang Capital FM.~

Ceritakan serba sedikit tentang diri anda.
Saya adalah anak tunggal dan dibesarkan di Kuala Lumpur. Ibu saya berbangsa Inggeris dan ayah saya pula berbangsa Cina. Buat masa ini saya adalah penyampai radio Capital FM yang boleh didengari di frekuensi 88.9FM. Anda boleh dengarkan lagu-lagu yang saya putarkan dari 1.00 hingga 4.00 petang setiap Isnin hingga Jumaat. Saya juga menyanyi dan menari balet serta salsa sejak umur 4 tahun. Namun, saya pernah mengalami kecederaan pada lutut (meniskus) ketika saya membuat latihan untuk tiga persembahan muzikal dan saya dengan berat hati terpaksa meninggalkan minat itu. Dari segi muzik, saya bermain piano, gitar dan saya sukakan muzik R&B elektronik.
Gambarkan diri anda dengan 3 perkataan.
Gila-gila. Penyayang. Setia..
Bagaimana tugasan sehari bagi penyampai radio di Capital FM?
Waktu bekerja saya agak fleksibel. Saya perlu datang sejam lebih awal jika banyak persediaan perlu dilakukan sebelum rancangan bermula. Saya akan pulang selepas rancangan tamat. Tetapi sebelum itu, saya perlu melakukan persiapan tentang apa yang perlu saya sampaikan, senarai lagu yang perlu dimainkan pada esok hari. Saya akan mengambil cuti pada hujung minggu untuk memberi tumpuan kepada muzik saya dan menghabiskan diploma dalam Komunikasi Media di Kolej ICT. Dalam bidang muzik, saya sedang melakukan sebuah projek eksperimen R&B elektronik baru seperti muzik oleh artis Kimbra dan Little Dragon. Kimbra adalah seperti semangat saya dan saya amat menyukai muzik dan artistiknya. Saya harap dapat mengeluarkan beberapa single dan mempunyai bahan untuk mengeluarkan album EP.
Bagaimana anda bersantai pada hujung minggu?
Saya menghabiskan masa bersama keluarga dan rakan-rakan. Saya suka melepak di café dan menikmati kopi. Saya juga suka menonton wayang terutamanya filem komedi – ia mudah ditonton dan tidak perlu untuk banyak berfikir. Filem ‘Like Crazy’ adalah filem kegemaran saya. Saya juga suka menonton drama Inggeris dan Korea. Drama kesukaan saya ialah Brooklyn 99 dan Spring Waltz.
Apakah perkara paling penting dalam hidup anda?
Keluarga adalah yang pertama bagi saya termasuk rakan-rakan, muzik saya dan sudah tentu kerjaya. Ya, kerja saya adalah hidup saya…
Bagaimana anda bermula sebagai penyampai radio Capital FM? Adakah ia sesuatu yang anda mahu lakukan?
Semasa belajar saya masih memikirkan tentang apa yang saya mahu lakukan selepas tamat pengajian. Pada mulanya saya ingin terlibat dengan kerja-kerja penyiaran TV dan pernah menceburinya buat seketika. Saya pernah terlibat dengan beberapa rancangan tetapi selepas itu tiada apa yang berlaku. Saya sememangnya pendengar setia Capital FM sejak saya belajar lagi. Pada masa itu terdapat iklan kekosongan jawatan dalam Capital FM dan saya pergi untuk uji bakat. Pada mulanya, saya tidak berjaya tetapi selepas setengah tahun kemudian, saya mendapat panggilan dari Capital FM untuk menyertai mereka. Dan sejak dari hari tu saya menjadi penyampai radio.
Apa yang paling menyeronokkan tentang kerja anda?
Saya adalah seorang pemuzik. Dengan berkongsi cinta saya kepada muzik bersama semua pendengar adalah sesuatu yang menyeronokkan. Dan paling menggembirakan apabila saya mendapat panggilan daripada pendengar yang memberitahu saya, “Terima kasih Ashley kerana memainkan muzik yang benar-benar menyentuh hati saya.”
Apakah pengalaman paling menarik sepanjang menjadi penyampai radio di Capital FM?
Saya pernah mendapat panggilan daripada pendengar yang cuba untuk berlakon menjadi dua individu berbeza kerana mahu memenangi hadiah sebanyak dua kali. Dan pernah terjadi, seorang pemanggil ingin memenangi hadiah CD Michael Jackson tetapi dia tidak berjaya. Tetapi kerana begitu teruja untuk mendapatkan hadiah itu, dia menyebut semua nama yang ada di stesen radio kami. Kerana usahanya itu, kami menghadiahkannya CD tersebut.
Dengan adanya saluran media alternatif dan perkembangan pesat media sosial, adakah masih ada ruang untuk radio? Bagi anda, bagaimana industri radio pada lima tahun akan datang? Adakah radio akan kekal relevan pada zaman yang semuanya dilakukan dalam talian?
Itu adalah soalan yang selalu kita fikirkan. Masih ada tempat buat media konvensional seperti radio kerana ia adalah satu medium yang sangat peribadi – di mana terdapat seseorang yang bercakap dengan anda yang anda boleh dengar melalui telefon atau di dalam kereta. Bagi saya, terlalu awal untuk diperkatakan tetapi lima tahun dari sekarang kemungkinan radio akan memperluaskan potensinya melalui radio atas talian jika jalur lebar dan sambungan ditambah baik.
Apakah alat-alat yang anda sering gunakan setiap hari?
Saya seorang gadis ‘Apple’ yang menggunakan Macbook Air. Ianya ringan dan sesuai dengan keperluan saya. Saya pernah menggunakan Galaxy Note tetapi saya telah bertukar kepada iPhone 6 berwarna perak. Saya juga mempunyai sepasang fon kepala Skullcandy berwarna putih.
Adakah anda pernah mengalami masalah dengan perkhidmatan telekomunikasi anda? Adakah anda tahu tentang CFM dan bagaimana CFM boleh membantu anda dengan menjadi perantara dalam menyelesaikan isu-isu dengan pembekal perkhidmatan?
Buat masa ini, saya berpuas hati dengan pembekal perkhidmatan saya. Saya tahu tentang CFM dan pasti akan menghubungi CFM jika perlu. 

5 PILIHAN KEGEMARAN ASHLEY

Apakah aplikasi pilihan dalam telefon pintar seorang penyampai radio? Ashley berkongsi aplikasi yang sangat berguna buatnya.

   

SOUNDCLOUD

Percuma untuk iOS dan Android

Memberi ruang kepada artis untuk memuat naik dan berkongsi hasil kerja mereka secara dalam talian yang dapat mencapai audiens. Juga cara yang terbaik untuk mendengar dan menemui kumpulan muzik baru yang kurang dikenali.

SPOTIFY MUSIC

Untuk iOS dan Android. Percuma. RM14.90//bulan untuk premium

Anda boleh melayari, mencari dan mendengar pelbagai pilihan muzik secara percuma dalam talian. Langgan versi Premium untuk menikmati kualiti audio yang lebih baik dan boleh mendengarnya di luar talian.

VSCO CAM

Percuma untuk iOS dan Android dengan pembelian dalam aplikasi

Anda boleh merakam, mengedit dan berkongsi gambar melalui aplikasi suntingan foto ini. Anda boleh mengubah suai gambar menggunakan pelbagai pilihan penapis secara percuma atau berbayar.

 

CAPITAL FM- MALAYSIA

Percuma untuk iOS dan Android

Aplikasi rasmi radio yang anda boleh dengarkan pelbagai nada lagu dan mendapatkan berita-berita terkini serta pemberian hadiah.

 

WAZE

Percuma untuk iOS dan Android

Aplikasi pandu arah yang sangat berguna bagi semua pengguna jalan raya. Anda dapat berkongsi dan menerima maklumat trafik terkini dalam masa sebenar serta dapat menjimatkan masa daripada terperangkap dalam kesesakan.

Sumber : SHOUT Q2 2015, consumerinfo.my #connected #CFMmalaysia  #CFMshout

Cadangan Artikel

AIMAN SALIM – PELAWAK ATAS TALIAN

Pada zaman teknologi masa kini, siapa saja boleh terus dikenali dengan bakat tersendiri melalui bantuan …

DR. RUZAIMI MAT RANI – INSPIRASI MALAYSIA

LATAR BELAKANG PROJEK YANG DIJALANKAN?Saya mengambil nisiatif untuk membudayakan kemahiran melukis dalam membentuk generasi celik kemahiran komunikasi visual. Generasi …

Ingin Komen?