SHAH ALAM, 30 OKTOBER 2017 – Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dengan sokongan Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) menganjurkan program Mass Communication Carnival #MCoC17 bagi memberi pendedahan kepada para pelajar FKPM untuk memahami isu dan cabaran baharu dalam dunia komunikasi pada hari ini dalam beberapa siri wacana yang dijalankan selama tiga hari bermula 30 Oktober sehingga 1 November bertempat di Dataran Gunasama MassComm, UiTM Shah Alam. Program #MCoC17 dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press, Datuk Abdul Jalil Hamid yang juga adalah Presiden Alumni MassComm UiTM pada hari pertama program berlangsung. Manakala, upacara penutup program #MCoC17 dirasmikan oleh Pengasas Youth on Unity (Y.O.U), Dato’ Mohd Nazifuddin Datuk Seri Mohd Najib.

#MCoC17 merupakan sesi perkongsian maklumat yang menghimpunkan panel-panel jemputan yang pakar dan berpengalaman dalam bidang masing-masing bagi memberikan pemahaman tentang cabaran dunia komunikasi kepada para pelajar yang bakal menjadi pengamal media selepas mereka tamat pengajian nanti. Program yang juga berteraskan keusahawanan ini diusahakan oleh gabungan wakil-wakil pelajar dari setiap program dan kelab-kelab dalaman di dalam FKPM termasuk Sekretariat Mahasiswa Fakulti serta Mass Communication Students Association (MASSA) yang menjadi platform kepada semua pelajar FKPM untuk mendapatkan pemahaman yang lebih tepat tentang program-program lain. “Kami yakin dengan adanya program #MCoC17, ia dapat menyalurkan lebih banyak maklumat yang tepat kepada para pelajar agar mereka dapat bersedia menghadapi cabaran dalam industri komunikasi media dan memberi pendedahan kepada orang awam tentang kerjaya dalam bidang ini, selain dapat memberi peluang kepada pelajar fakulti untuk terlibat dalam aktiviti keusahawanan,” kata Dekan Fakulti Komunikasi dan Media, Prof Dr Azizul Halim Yahya.

#MCoC17 menampilkan para penceramah dari bidang komunikasi media dan keusahawanan seperti Pengarah Yayasan Tun Hasmah – Budi Citawan Wan Hanafi Su, Perunding di Akademi Minda Luar Training – Ahmad Naqiuddin, Ketua Jurukamera Multimedia RTM – Hj Omar Hj Saleh, juga beberapa personaliti TV yang merupakan Alumni FKPM UiTM Shah Alam seperti Nur Nadia Mat Zuber dan Hawa Rizwana. Selain itu, sesi dialog mengenai Transformasi Negara 2050 (TN50) turut diadakan bersama para pelajar yang akan disampaikan oleh Duta Belia TN50, Shahril Hamdan. Program yang disokong oleh CFM ini juga memberi peluang kepada para pelajar untuk memperolehi pengetahuan tentang isu dan perkembangan industri komunikasi dan multimedia di Malaysia daripada pemain dan pakar industri dengan tajuk-tajuk perkongsian seperti “Tiada lagi sistem analog bagi siaran televisyen”, “Bagaimana menjadi pengguna Telco yang bijak” dan “Apa yang pengguna perlu tahu tentang perkhidmatan kandungan mudah alih.” “CFM amat berbesar hati dapat melibatkan diri dengan program pelajar universiti seperti #MCoC17. Program ini dapat menjadi platform bagi menghubungkan para pelajar kepada industri komunikasi dan multimedia selain dapat memberi pendedahan tentang peranan CFM dalam memastikan hak pengguna diberi keutamaan dan pengguna mendapat servis yang adil di dalam industri perkhidmatan komunikasi dan multimedia,” kata Pengerusi CFM, Mohamad Yusrizal Dato’ Yusoff.

Tambah beliau, para pelajar adalah salah satu kumpulan “kuasa pengguna” dalam kalangan majoriti pengguna dan antara kumpulan yang paling ramai menggunakan perkhidmatan internet. Dengan menyertai program seperti ini, CFM dapat menyampaikan maklumat yang tepat kepada golongan sasaran agar mereka tahu akan kepentingan melaporkan aduan secara rasmi daripada sekadar membuat rungutan di media sosial yang mungkin tidak memberikan impak ketara kepada perubahan perkhidmatan komunikasi dan multimedia.

#HakAndaKeutamaanKami #JadilahPenggunaYangBijak

 _______________________________TAMAT______________________________

Mengenai CFM

Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) ditubuhkan pada bulan Februari 2001 dan telah ditetapkan sebagai salah satu forum industri oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), selaras dengan Peruntukan Seksyen 189 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM). Ia menjadi salah satu platform bagi industri dan pengguna/orang awam bagi menyumbang ke arah penambahbaikan perkhidmatan dan pembangunan polisi yang lebih baik dan konstruktif. Peranan CFM bersama dengan pihak-pihak lain yang terlibat adalah untuk menggalakkan pembangunan industri komunikasi dan multimedia di Malaysia dan melindungi kepentingan pengguna dengan menggalakkan etika perniagaan berkualiti tinggi melalui kawal selia kendiri. CFM juga menjadi saluran kepada pengguna untuk melaporkan aduan tentang perkhidmatan komunikasi dan multimedia. Jika terdapat aduan mengenai perkhidmatan komunikasi dan multimedia yang belum diselesaikan, pengguna boleh mengemukakan aduan kepada CFM melalui saluran berikut:

PORTAL ADUAN CFM (COP) www.complaint.cfm.org.my
HOTLINE 1-800-18-2222
EMEL aduan@cfm.org.my
APLIKASI MUDAH ALIH Muat turun aplikasi “MY MOBILE RIGHTS” di Google Play Store dan App Store
PEJABAT CFM Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (MCMC), Off Persiaran Multimedia Jalan Impact, 63000 Cyberjaya, Selangor.

  Untuk maklumat lanjut, lawati laman web CFM di www.consumerinfo.my