Home / CFM Buzz / Gaya Hidup Digital / 4 CARA MUDAH UNTUK MENGENALPASTI KETULENAN TELEFON ANDA

4 CARA MUDAH UNTUK MENGENALPASTI KETULENAN TELEFON ANDA

Anda baru sahaja membeli sebuah telefon pintar yang baharu. Entah bagaimana, anda mula berasa ragu-ragu dan kini tidak pasti sama ada telefon baharu itu tulen ataupun tidak. Peranti baharu kegemaran anda itu mungkin gajet klon. Jadi ikuti langkah-langkah mudah dari SHOUT! untuk mengenal pasti ketulenan telefon anda:

***********************************************

LANGKAH 1

PERIKSA SPESIFIKASI PERANTI TERSEBUT

Memeriksa spesifikasi telefon anda ialah langkah pertama untuk memeriksa ketulenan peranti tersebut. Bandingkan spesifikasi di kotak bungkusan peranti anda dengan sumber sahih seperti laman web peranti tersebut atau sumber daripada pihak ketiga yang boleh dipercayai seperti www.gsmarena.com. Anda juga boleh memeriksa spesifikasi telefon tersebut dengan pergi ke Tetapan > Mengenai Telefon dan sahkan maklumat tersebut di situ.

LANGKAH 2

BUAT PERBANDINGAN DENGAN PERANTI YANG DIJUAL OLEH PENGEDAR SAH

Tidak ada salahnya untuk membeli telefon anda menerusi pengedar yang tidak sah. Kadang-kala anda mungkin boleh mendapat tawaran yang lebih baik dari situ. Namun, berhati-hati dengan hadiah atau ganjaran yang ditawarkan, kerana anda mungkin membeli peranti klon. Jika harga telefon yang ditawarkan di kedai pengedar tidak sah lebih murah, ia mungkin tidak dilengkapi dengan aksesori standard ataupun anda hanya diberikan aksesori tidak berjenama yang lebih murah seperti set alat dengar, kabel, pengecas dan lain-lain. Jika ciri-ciri fizikal peranti tersebut serba tidak kena, kemungkinan besar ia adalah peranti palsu. Bawa peranti anda ke pengedar yang sah dan bandingkannya dengan peranti asli lain yang dijual di situ. Selain itu, semak jaminan peranti tersebut jika ia dilindungi oleh pengeluar telefon atau perlu dikembalikan kepada pengedar tersebut jika terdapat kerosakan.

LANGKAH 3

PERIKSA NOMBOR IMEI TELEFON ANDA

IMEI atau “International Mobile Equipment Identity” ialah nombor kad pengenalan telefon anda. Dail *#06# di telefon anda dan ia akan memaparkan 15 digit nombor yang juga dikenali sebagai nombor IMEI telefon anda. Bandingkan nombor tersebut dengan nombor IMEI di kotak bungkusan peranti anda. Jika kedua-duanya sama, anda tidak perlu risau. Anda juga boleh menggunakan nombor IMEI untuk mengenalpasti ketulenan dan kualiti telefon anda, tetapi maklumat ini tidak semestinya tepat. Periksa juga nombor siri yang terdapat pada peranti dan kotak peranti tersebut jika ia mempunyai nombor siri yang sepadan.

LANGKAH 4

PASTIKAN PERANTI ANDA DISAHKAN OLEH SIRIM

Akhir sekali, serahkan kepada pihak berwajib untuk membuat pemeriksaan peranti anda. SIRIM adalah tempat rujukan untuk sebarang hal piawaian di Malaysia. Oleh itu, jika peranti anda sudah dilabel dengan SIRIM, anda boleh menggunakan peranti anda tanpa was-was. Anda juga boleh memeriksa nombor IMEI anda dengan SIRIM di pautan ini: http://ecomm.sirim.my/SirimEnquiry/search_IMEI.aspx.

Untuk direktori pengesahan produk, layari http://www.sirim-qas.com.my/. Inisiatif ini adalah sebahagian daripada kempen “Check Your Label”, iaitu satu kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama dengan SIRIM QAS International Sdn. Bhd. untuk meningkatkan kesedaran orang awam terhadap penggunaan peranti komunikasi yang selamat dan untuk mengelakkan pengguna tertipu dengan peranti klon atau tiruan.

 

Sumber : SHOUT Q2, 2017, consumerinfo.my #CFMarticle  #CFMmalaysia  #CFMshout #socialmedialife

Cadangan Artikel

10 APLIKASI KEMBARA UNTUK SI CELIK TEKNOLOGI

Sama ada tujuannya ingin mengagumi kehebatan seni bina atau menikmati matahari dan laut yang menenangkan, …

APLIKASI KESELAMATAN TELEFON TERBAIK – MELINDUNGI PRIVASI ANDA

Keselamatan menjadi aspek penting bila berbicara mengenai pemilikan peranti mudah alih. Tidak kira apa jua …

Ingin Komen?