Forum dianjurkan buat pertama kali akan meningkatkan pengetahuan pengguna mengenai hak-hak pengguna Kuala Lumpur, 14 Mei 2014 – Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) akan menganjurkan sebuah Forum bersempena dengan Hari Telekomunikasi Sedunia pada 15 Mei 2014 sebagai salah satu langkah jangka masa panjang untuk meningkatkan kesedaran pengguna tentang isu-isu telekomunikasi dan multimedia. Dr. Elistina Abu Bakar, Pengerusi CFM berkata ‘Forum yang julung kali diadakan ini adalah platform terbaik untuk menonjolkan isu-isu penting berkaitan dengan pengguna dalam hal telekomunikasi dan multimedia, dan dalam masa yang sama meningkatkan kesedaran orang ramai tentang CFM; apakah fungsi kami, bagaimana mereka boleh menghubungi kami dan cara membuat aduan dengan betul’. Selari dengan tema Hari Telekomunikasi Sedunia ‘Pembangunan Mapan Melalui Jalur Lebar di Malaysia’, forum tersebut akan membincangkan tentang landskap jalur lebar di Malaysia. Forum selama satu (1) hari ini akan dibahagikan kepada empat (4) sesi, menumpukan tentang isu jalur lebar di Malaysia. Sesi pertama forum ini akan menumpukan tentang jalur lebar di Malaysia, landskap dan juga pandangan pengguna berkenaan isu jalur lebar. Sesi kedua akan menumpukan lebih kepada memperkasakan pengguna, dengan topik seperti melancarkan jalur lebar untuk pembangunan berterusan dan juga hak-hak pengguna dalam industry komunikasi dan multimedia. Seterusnya, forum akan diteruskan dengan sesi berkenaan dengan teknologi jalur lebar sebelum diakhiri dengan sesi untuk memupuk tanggungjawab orang awam dan juga budaya dalam talian (online). Isu jalur lebar merupakan salah satu isu yang paling banyak diperkatakan tahun lepas. Di dalam statistik yang dikeluarkan Connectivity Scorecard, penembusan jalur lebar di Malaysia telah meningkat kepada 67.2% sehingga September 2013, iaitu peningkatan yang memberangsangkan daripada 22% pada tahun 2008. Manakala untuk pengguna telefon bimbit, penembusan jalur lebar meningkat sehingga 146.1%; bermakna pengguna telefon pintar di Malaysia sekurang-kurangnya mempunyai satu atau dua gajet berbanding penggunaan di rumah atau bisnes. Kata Dr. Elistina lagi, forum tersebut akan menerangkan dengan lebih lanjut mengenai isu berkaitan kelajuan jalur lebar di Malaysia yang direkodkan lebih perlahan daripada negara ASEAN seperti Vietnam dan Kemboja. Katanya, ‘Keputusan laporan tersebut adalah tidak konsisten kerana kadar penembusan jalur lebar di Malaysia adalah lebih besar, jadi skop pengiraan kelajuan adalah berbeza di tempat yang berbeza. Oleh sebab itu saya berharap isu ini dapat dijelaskan dengan lebih baik kepada semua pihak’. CFM pada masa yang sama meneruskan aktiviti luar bagi meningkatkan kemudahan pengguna mengenali serta menghubungi CFM. Aktiviti luar ini termasuk turut serta dalam pameran yang diadakan SKMM, serta menjadi penceramah jemputan untuk program-program berkaitan komunikasi dan multimedia dan juga kepenggunaan.