Home / Isu Pengguna / Jenis Aduan / CTOS BOLEH BERLAKU JIKA ANDA MENAMATKAN LANGGANAN TELCO DENGAN CARA YANG SALAH

CTOS BOLEH BERLAKU JIKA ANDA MENAMATKAN LANGGANAN TELCO DENGAN CARA YANG SALAH

Kadangkala anda merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan perkhidmatan telco anda dan sudah tiba masanya untuk anda hentikan langganan tersebut. Atau mungkin anda ingin berpindah ke luar negara atau anda sedang berpindah ke kawasan lain di Malaysia di mana ada perkhidmatan telco yang menawarkan liputan yang lebih baik. Ada kemungkinan juga anda ingin menukar ke telco yang lain untuk mendapatkan tawaran yang lebih menarik. Semua sebab-sebab itu munasabah belaka dan boleh dipertimbangkan.

Namun seperti lumrah hidup, ‘berpisah’ dengan perkhidmatan telco juga perlu dilakukan dengan cara yang betul dan mengikut langkah yang tepat. Ia tidak semudah membuka pintu dan keluar berlalu pergi. Langganan telco ini terikat dengan perjanjian yang seakan dengan pinjaman bank dan perjanjian-perjanjian yang lain. Ia perlu ditamatkan dengan cara yang menyenangkan kedua-dua belah pihak iaitu – anda dan pihak penyedia perkhidmatan yang bakal anda tinggalkan. Kegagalan untuk melakukannya dengan cara yang betul akan memberi kesan kepada penarafan kredit anda dan peluang untuk anda mendaftar kepada perkhidmatan pelanggan telekomunikasi yang lain atau mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan.

JADI, APAKAH ITU CTOS DAN BAGAIMANA IA MEMPENGARUHI PENARAFAN KREDIT SAYA?

Credit Tip Off Service (CTOS) ialah organisasi persendirian yang menyediakan laporan kredit untuk digunakan oleh pelbagai organisasi komersial. Ia juga digunakan sebagai tambahan selain daripada Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS), sistem unik yang dicipta oleh Bank Negara. Kedua-dua CTOS dan CCRIS digunakan untuk memberikan gambaran menyeluruh tentang kelayakan kredit peminjam.

Sekiranya pelanggan tidak membayar bil dalam jumlah yang memuaskan, nama mereka mungkin akan dimasukkan ke dalam pangkalan data CTOS sebagai pembayar yang lalai. Hal ini akan memberi kesan kepada kelayakan kredit pelanggan apabila mereka ingin memohon pinjaman dan turut memberi kesan jika mereka ingin mendaftar untuk kontrak telefon pintar pada masa hadapan. Semuanya tercatat di dalam rekod prestasi yang menunjukkan bahawa mereka tidak membayar mengikut masa dan tidak komited dengan tanggungjawab kewangan mereka. Dalam kes-kes yang lebih teruk, pengguna boleh disenarai hitam dan dihalang daripada mendaftar dengan mana-mana penyedia perkhidmatan.

Mengikut rekod Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM), terdapat sebanyak 560 kes dari Januari 2014 hingga 2017 di mana pengguna telah dimasukkan ke dalam senarai CTOS atas sebab-sebab berikut.

FAKTOR YANG BOLEH MENYEBABKAN ANDA DISENARAIKAN DI DALAM CTOS

 

 

Pembayaran bil yang tidak memuaskan

Maklumat yang mengelirukan dari wakil jualan

Pengadu tidak dapat menggunakan perkhidmatan

Tingkah laku pengguna

 

 Aduan yang tidak dapat diselesaikan

 Penamatan perkhidmatan gagal

Pendaftaran Palsu

 

Sistem Pengebilan yang kurang baik

 

 BAGAIMANAKAH CARA MENAMATKAN KONTRAK DENGAN PENYEDIA PERKHIDMATAN ANDA (SECARA BERHEMAH)?

1. Setiap penyedia perkhidmatan mempunyai prosedur yang sedikit berbeza untuk menamatkan akaun perkhidmatan. Lawati laman web penyedia perkhidmatan anda dan biasakan diri dengan mereka atau hubungi talian khidmat pelanggan untuk mendapatkan penjelasan. Anda juga perlu tahu mengenai kitaran bil anda iaitu bila ia bermula dan berakhir dan jika anda telah menanggung sebarang caj yang luar daripada biasa. Anda juga perlu mengambil perhatian mengenai bayaran penalti yang terlibat jika anda menamatkan kontrak lebih awal dan anda tetap perlu membayar kepada mereka walaupun anda tidak gembira dengan servis mereka. Selain itu, anda juga perlu tahu bahawa kredit untuk akaun prabayar tidak boleh dipindahkan ke akaun prabayar anda dengan penyedia perkhidmatan yang baharu.

2. Sekiranya anda telah menamatkan servis dengan penyedia perkhidmatan anda, pastikan anda mendapat penyata bil akhir untuk mengesahkan jika ada sebarang caj tertunggak daripada mereka. Untuk mengelakkan sebarang masalah dengan mana-mana penyedia perkhidmatan pada masa hadapan, anda perlu membayar penuh semua caj tertunggak yang dikenakan. Jika caj yang dikenakan adalah prorata, anda juga bertanggungjawab untuk membayar jumlah tunggakan tersebut. Jika jumlahtersebut tidak dibayar penuh mengikut masa yang ditetapkan, pengguna berpotensi untuk dimasukkan ke dalam senarai CTOS.

3. Pengguna perlu pastikan mereka menerima surat dari penyedia perkhidmatan yang menyatakan penamatan servis dan segala bayaran tertunggak telah dibayar penuh selain daripada menerima penyata bil akhir. Kedua-duanya merupakan bukti penting jika ada sebarang pertikaian bil pada masa hadapan. Jadi simpan kedua-duanya di tempat yang selamat.

My Mobile Rights (MMR) adalah aplikasi rasmi CFM yang boleh didapati di Google Play Store dan Apple App store.

4. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertikaian atau masalah, sila hubungi penyedia perkhidmatan anda terlebih dahulu. Jika hasilnya tidak memuaskan, sila hubungi CFM melalui e-mel di aduan@cfm.org.my, buat laporan di portal aduan.skmm.gov.my, atau melalui aplikasi MY Mobile Rights atau talian bebas tol rasmi di 1-800-18-2222.

Sumber : SHOUT H2, 2018

* * *

Anda suka artikel, tip ini? Kongsikan di FacebookTwitter, dan Instagram anda. ‘Follow’ kami untuk ketahui lebih banyak tip & info terkini mengenai komunikasi & multimedia.

~consumerinfo.my :: another website by Communications & Multimedia Consumer Forum of Malaysia (CFM)~ 

 

Cadangan Artikel

TIP! UNTUK DAPATKAN KUALITI LIPUTAN SELULAR…

Kenalpasti punca kualiti liputan rangkaian tidak memuaskan dan ketahui tip untuk menanganinya | CFM #Tip #Selular #KualitiLiputan

‘TROUBLESHOOTING’ GANGGUAN PERKHIDMATAN INTERNET

Tahukah anda? Anda sebenarnya boleh melakukan DIY atau ‘troubleshooting’ sendiri jika berlaku gangguan perkhidmatan internet dengan kaedah ini | CFM

Ingin Komen?