Home / CFM Buzz / Siaran Media / 2018 / ELAK KEJUTAN BIL SEMASA MENUNAIKAN HAJI

ELAK KEJUTAN BIL SEMASA MENUNAIKAN HAJI

CYBERJAYA, 2 OGOS 2018 – Perkhidmatan perayauan antarabangsa yang ditawarkan penyedia perkhidmatan telekomunikasi mudah alih dapat membantu memudahkan pengguna untuk berhubung dengan keluarga dan rakan-rakan apabila berada di luar negara. Namun, penggunaan tanpa memahami kaedah yang betul boleh menyebabkan bil telefon melambung tinggi. Terdapat pengguna yang mengalami kejutan bil selepas kembali ke tanah air dan mendapati bil telefon mencecah ribuan ringgit kerana menggunakan perkhidmatan perayauan antarabangsa untuk panggilan telefon dan data internet.

Setiap tahun, Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) menerima aduan mengenai caj panggilan suara dan data perayauan daripada pengguna di seluruh Malaysia. Berdasarkan rekod CFM, sebanyak 52 aduan diterima setakat Jun 2018 manakala sebanyak 170 aduan diterima pada tahun 2017. Berdasarkan jumlah aduan yang diterima daripada tahun 2012 sehingga kini, jumlah aduan mengenai masalah penggunaan data perayauan lebih tinggi daripada aduan mengenai penggunaan panggilan perayauan. CFM menyarankan agar pengguna mengambil langkah berhati-hati jika ingin menggunakan data internet semasa berada di luar negara dengan mendapatkan maklumat lanjut tentang harga dan pakej perayauan yang disediakan penyedia perkhidmatan anda.

TAHUN

PENGGUNAAN DATA PERAYAUAN

PENGGUNAAN PANGGILAN PERAYAUAN

JUMLAH ADUAN

2012

34 aduan

15 aduan

49

2013            50 aduan             35 aduan 85
2014 49 aduan 38 aduan 87
2015 54 aduan 36 aduan 90
2016 312 aduan 72 aduan 384
2017 120 aduan 50 aduan 170
2018

(Jan – Jun)

49 aduan 3 aduan 52

Bagi mengelakkan kerisauan pengguna semasa berada di luar negara terutama bagi jemaah haji Malaysia yang akan menunaikan ibadah haji pada bulan ini, CFM memberikan tips tentang penggunaan data dan panggilan perayauan antarabangsa yang boleh dijadikan panduan untuk terus kekal berhubung dengan keluarga tanpa rasa bimbang.

“Musim haji melibatkan begitu ramai jemaah Malaysia dan CFM menyedari jemaah haji juga merupakan antara pengguna telekomunikasi yang ingin terus berhubung dengan keluarga apabila berada di Mekah. Perkongsian tips oleh CFM ini adalah untuk memberikan pengguna maklumat yang tepat dan agar pengguna tahu langkah-langkah yang perlu diambil sebelum dan semasa berada di luar negara agar dapat mengelakkan kejutan bil apabila kembali semula ke tanah air,” kata Pengerusi CFM, Mohamad Yusrizal Dato’ Yusoff.

Berikut adalah beberapa langkah yang boleh dijadikan panduan oleh jemaah haji tentang penggunaan perkhidmatan telekomunikasi sebelum pergi dan semasa berada di tanah suci:

  1. Rujuk Penyedia Perkhidmatan anda sebelum memulakan perjalanan ke luar negara

Ini adalah untuk memastikan anda mendapat maklumat yang tepat mengenai caj yang akan dikenakan. Anda tidak akan dikecualikan daripada membayar caj tersebut walaupun anda benar-benar tidak tahu.

  1. Buat salinan semua kenalan dan data penting dalam telefon anda sebelum meninggalkan Malaysia

Ini adalah sebagai langkah keselamatan sekiranya anda kehilangan telefon ketika berada di sana. Anda juga boleh memuatnaik maklumat penting ini dan menyimpannya di dalam storan atas talian untuk capaian mudah dari mana sahaja.

  1. Elak gunakan dua kad sim dalam satu telefon bimbit

Anda tidak digalakkan menggunakan cara ini jika anda tidak biasa dengan tetapan telefon yang perlu diubah. Gunakan telefon bimbit yang lain bagi setiap kad sim. Anda juga disarankan agar membawa telefon bimbit kedua bagi penggunaan kad sim tempatan untuk menerima atau membuat panggilan penting ketika berada di tanah suci. Manakala telefon pintar anda boleh digunakan untuk sambungan Wi-Fi sahaja.

  1. Beli kad sim antarabangsa yang dijual di Malaysia melalui dalam talian atau di lapangan terbang

Terdapat kad sim antarabangsa yang dijual di Malaysia yang mungkin mempunyai pakej yang dapat memenuhi keperluan anda selain dapat mengurangkan kerumitan untuk mendaftar kad sim semasa di luar negara.

  1. Dapatkan kad sim tempatan sebaik tiba di Arab Saudi sebagai alternatif untuk mendapatkan pilihan yang lebih murah

Lakukan sedikit kajian mengenai pelan yang disediakan di sana, dan pilih pakej kad sim yang terbaik serta sesuai dengan penggunaan anda sepanjang berada di sana.

  1. Nyahaktifkan “Sambungan Automatik ke Rangkaian”

Kebanyakan penyedia perkhidmatan di Malaysia mempunyai rakan perayauan antarabangsa  di semua negara yang anda lawati dan biasanya mereka menyediakan pakej khas kadar rata bagi panggilan suara dan data apabila anda disambungkan kepada mereka. Nyahaktifkan “SAMBUNGAN AUTOMATIK KE RANGKAIAN” dan pastikan anda sentiasa disambungkan kepada rakan perayauan penyedia perkhidmatan anda untuk menikmati pakej khas ini.

  1. Tukar mod “Airplane” atau “Pesawat” dan gunakan Wi-Fi

Jika anda ingin terus berhubung hanya menggunakan Wi-Fi, anda boleh memilih untuk menukar mod telefon pintar anda ke mod “AIRPLANE” atau “PESAWAT” dan gunakan Wi-Fi awam yang anda boleh dapati di sana.

  1. Gunakan aplikasi seperti WhatsApp ketika menerima panggilan semasa berada di luar negara

Jika anda hanya mahu menerima panggilan dan SMS semasa berada di luar negara, anda boleh memilih untuk menggunakan aplikasi seperti “WhatsApp Call/Video Call” dan gunakan Wi-Fi sahaja.

CFM mengucapkan selamat menjalani ibadah haji kepada semua jemaah haji Malaysia dan semoga semua urusan ibadah dipermudahkan.

#HakAndaKeutamaanKami

#JadilahPenggunaYangBijak

_____________________________________________________________

Mengenai CFM

Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) ditubuhkan pada bulan Februari 2001 dan telah ditetapkan sebagai salah satu forum industri oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), selaras dengan Peruntukan Seksyen 189 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM). Ia menjadi salah satu platform bagi industri dan pengguna/orang awam bagi menyumbang ke arah penambahbaikan perkhidmatan dan pembangunan polisi yang lebih baik dan konstruktif.

Peranan CFM bersama dengan pihak-pihak lain yang terlibat adalah untuk menggalakkan pembangunan industri komunikasi dan multimedia di Malaysia dan melindungi kepentingan pengguna dengan menggalakkan etika perkhidmatan berkualiti tinggi melalui kawal selia kendiri. CFM juga menjadi pemudah cara kepada pengguna untuk melaporkan aduan tentang perkhidmatan komunikasi dan multimedia.

Jika terdapat aduan mengenai perkhidmatan komunikasi dan multimedia yang tidak diselesaikan, pengguna boleh mengemukakan aduan melalui saluran berikut:

PORTAL ADUAN https://aduan.skmm.gov.my

(sistem bersepadu bersama SKMM)

APLIKASI MUDAH ALIH Muat turun aplikasi “MY MOBILE RIGHTS” di

Google Play Store dan App Store

PORTAL CFM www.cfm.my

www.consumerinfo.my

PEJABAT CFM

Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (MCMC), Off Persiaran Multimedia Jalan Impact, 63000 Cyberjaya, Selangor

Cadangan Artikel

“GAGS & COFFEE 2.0” CFM: SKETSA SANTAI UNTUK PENGGUNA FAHAMI ISU KOMUNIKASI dan MULTIMEDIA SEMPENA SAMBUTAN WTISD18

ALOR SETAR, 22 SEPT 2018 – Bersempena sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia 2018 …

MENJADIKAN INTERNET BERKELAJUAN TINGGI MAMPU DIMILIKI PENGGUNA MALAYSIA

CYBERJAYA, 20 OGOS 2018 – Pembangunan internet di Malaysia memerlukan usaha bersepadu daripada pelbagai pihak …

Ingin Komen?