CYBERJAYA, 23 OKTOBER 2018 – Isu harga baharu internet jalur lebar talian tetap menjadi tumpuan mutakhir ini. Pengumuman oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) baru-baru ini menyaksikan penurunan harga jalur lebar talian tetap sehingga 56% dan menjadikan harga baharu tersebut dapat dinikmati oleh semua pelanggan Telco sedia ada. Pengerusi Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM), Mohamad Yusrizal Dato’ Yusoff menyokong inisiatif yang dilakukan oleh menteri Y.B Gobind Singh Deo dan kerjasama yang diberikan oleh penyedia perkhidmatan terutama Celcom, Maxis, TIME, dan TM bagi memastikan jalur lebar mampu dimiliki semua rakyat Malaysia.

Walaupun harga telah dikurangkan, CFM masih terus menerima beberapa jumlah pertanyaan dan juga rungutan yang disuarakan di media sosial CFM mengenai maklumat terperinci tentang tawaran baharu tersebut.  

Menurut Pengerusi CFM, “Semakan semula harga jalur lebar ini adalah sesuatu yang baharu kepada semua pelanggan dan pengguna, dan saya percaya bahawa mereka tidak mendapat maklumat yang mencukupi tentang harga, kelajuan dan butiran terma dan syarat. Sebagai sebuah forum pengguna yang memberi tumpuan kepada perkhidmatan telekomunikasi dan multimedia, kami sentiasa aktif berhubung dengan ahli-ahli kami (penyedia perkhidmatan) agar maklumat yang tepat dapat dikongsikan kepada semua pengguna.”

CFM telah menghimpunkan maklumat penting untuk rujukan pengguna mengenai harga baharu internet jalur lebar talian tetap:

CELCOM MAXIS TIME TM
Bilakah kadar harga baharu akan berkuat kuasa? 16 September 2018 *Hanya di Sabah sahaja 13 September 2018 Pelanggan dapat menikmati harga baharu yang ditawarkan sebaik melanggan kontrak yang baru. Sejak 7 Oktober 2018 Sejak 12 Julai 2018
Adakah pengurangan harga pakej ini untuk semua termasuk pelanggan sedia ada? Ya Ya Ya Ya untuk Unifi Basic dan 100mbps
Bagi pelanggan sedia ada yang tidak mahu menaik taraf, adakah Telco menawarkan pengurangan kadar harga untuk pakej yang sama? Tiada diskaun untuk yang tidak memilih kelajuan baharu. Ya Ya, pelanggan yang ingin mengekalkan kelajuan sedia ada pada harga baharu yang lebih murah mempunyai pilihan untuk menukarnya pada bila-bila masa di portal Self Care TIME. Semua pelanggan sedia ada akan dinaik taraf kepada kelajuan baharu secara automatik. Walau bagaimanapun, pelanggan masih mempunyai pilihan untuk menukar pakej yang mereka langgan di mana-mana kedai TMpoint.

Pakej tertentu yang ditawarkan mempunyai lanjutan kontrak. Pelanggan dinasihatkan untuk menghubungi penyedia perkhidmatan masing-masing untuk mendapatkan maklumat dan penjelasan lanjut.

Tambah beliau, “Selain itu, kami juga terus menerima aduan mengenai isu tiada liputan dan kelajuan. Di Malaysia, terdapat begitu banyak pilihan yang boleh didapati untuk pengguna. Kita mempunyai pelbagai pakej jalur lebar tanpa wayar dan jalur lebar satelit. Kita harus bijak dalam memilih pilihan terbaik dengan mengetahui jenis penggunaan kita dan tahap penggunaan masing-masing.”

Dengan langkah yang dilakukan oleh penyedia perkhidmatan ini, CFM yakin Malaysia mengorak satu lagi langkah ke hadapan untuk mencapai objektif Pelan Sambungan Seluruh Negara (NCP) untuk rakyat mendapat akses internet di seluruh negara.

Pada masa yang sama, CFM akan terus memantau perkhidmatan-perkhidmatan baharu yang ditawarkan penyedia perkhidmatan kepada pengguna dan akan menggalakkan pengguna menjadi lebih berinformasi dan mendapatkan maklumat yang tepat sebelum melanggan sebarang pakej. Untuk mengetahui maklumat lanjut tentang semua pakej jalur lebar, pengguna boleh melayari portal CFM di https://www.consumerinfo.my/jalur-lebar/?lang=ms   

#HakAndaKeutamaanKami

#JadilahPenggunaYangBijak

________________________

Mengenai CFM

Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) ditubuhkan pada bulan Februari 2001 dan telah ditetapkan sebagai salah satu forum industri oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), selaras dengan Peruntukan Seksyen 189 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM). Ia menjadi salah satu platform bagi industri dan pengguna/orang awam bagi menyumbang ke arah penambahbaikan perkhidmatan dan pembangunan polisi yang lebih baik dan konstruktif. Peranan CFM bersama dengan pihak-pihak lain yang terlibat adalah untuk menggalakkan pembangunan industri komunikasi dan multimedia di Malaysia dan melindungi kepentingan pengguna dengan menggalakkan etika perkhidmatan berkualiti tinggi melalui kawal selia kendiri. CFM juga menjadi pemudah cara kepada pengguna untuk melaporkan aduan tentang perkhidmatan komunikasi dan multimedia. Jika terdapat aduan mengenai perkhidmatan komunikasi dan multimedia yang tidak diselesaikan, pengguna boleh mengemukakan aduan melalui saluran berikut:

PORTAL ADUAN https://aduan.skmm.gov.my (sistem bersepadu bersama SKMM)
APLIKASI MUDAH ALIH Muat turun aplikasi “MY MOBILE RIGHTS” di Google Play Store dan App Store
PEJABAT CFM Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (MCMC), Off Persiaran Multimedia Jalan Impact, 63000 Cyberjaya, Selangor

Untuk dapatkan lebih banyak maklumat dan tip berguna, sila layari portal CFM:

PORTAL CFM www.cfm.my www.consumerinfo.my