CYBERJAYA, 20 OGOS 2018 – Pembangunan internet di Malaysia memerlukan usaha bersepadu daripada pelbagai pihak terutama daripada pemain-pemain industri yang terlibat bagi membina komuniti digital yang lebih baik. Pembinaan jalur lebar di Malaysia memberi tumpuan kepada “Internet untuk semua”, maka dua faktor utama yang dapat memacu ke arah komuniti yang sentiasa berhubung ialah kebolehsediaan perkhidmatan dan kemampuan bagi pengguna.

Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) menyokong semua usaha dan inisiatif yang dilakukan oleh semua penyedia perkhidmatan bagi memastikan  pengguna di Malaysia diberi keutamaan dalam penyediaan perkhidmatan mereka kepada orang awam. Walau bagaimanapun, CFM masih terus menerima banyak rungutan dan aduan daripada pengguna melalui media sosial dan portal aduan tentang harga dan amalan tidak adil mengenai perkhidmatan jalur lebar tetap (jalur lebar berkelajuan tinggi dan jalur lebar berwayar).   

Berdasarkan laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia pada Jun 2018 oleh Kumpulan Bank Dunia (https://bit.ly/2MdCqQs) menyatakan pengguna Malaysia membayar harga yang lebih tinggi untuk akses jalur lebar berkelajuan tinggi berbanding pengguna di negara lain. Menurut hasil kajian dalam laporan berkenaan, Malaysia menduduki tangga ke 74 daripada 167 negara bagi perkhidmatan jalur lebar tetap dari segi harga untuk setiap Mbps. Kedudukan ini meletakkan Malaysia jauh ketinggalan di belakang negara serantau seperti Vietnam dan negara yang mempunyai tahap pembangunan ekonomi yang sama dengan Malaysia seperti Mexico dan Turki.

Sebagai sebuah forum yang menggalakkan pembangunan industri komunikasi dan multimedia di Malaysia serta melindungi kepentingan pengguna, CFM menjalankan tinjauan melalui undian secara atas talian pada bulan Julai lepas untuk mengetahui pilihan pengguna tentang penggunaan perkhidmatan jalur lebar di Malaysia. Seramai 1,800 orang pengguna mengambil bahagian dalam undian berkenaan.

Hasil daripada undian yang dijalankan menunjukkan sebanyak 67.5% pengguna memilih pakej internet jalur lebar tetap dengan kuota tanpa had pada kelajuan 100Mbps bagi harga RM89 sebagai pakej ideal yang dapat memenuhi keperluan mereka. Selain itu, sebanyak 50.8% pengguna mempunyai langganan internet antara RM100 hingga RM200, manakala sebanyak 85.8% pengguna tidak berpuas hati dengan kelajuan internet mereka.

Ini menunjukkan pengguna di Malaysia berharap untuk dapat menikmati perkhidmatan internet jalur lebar berkelajuan tinggi dengan harga mampu milik sesuai dengan kelajuan penggunaan di rumah. Untuk melihat hasil undian tersebut, boleh merujuk pautan berikut: https://www.consumerinfo.my/cfm-online-voting-poll-kerana-undian-anda-amat-bermakna/?lang=ms     

“Sebagai sebuah forum pengguna proaktif yang ditugaskan untuk terlibat dan menjalankan penyelidikan mengenai perkara-perkara di dalam bidang kuasa CFM, kami akan terus melakukan usaha untuk mengumpulkan pendapat daripada orang awam yang akan memberikan pandangan yang bermakna kepada CFM dan pihak berkepentingan yang berkaitan bagi penambahbaikan industri,” kata Pengerusi CFM, Mohamad Yusrizal Dato’ Yusoff.

Dalam pada itu, CFM juga menyokong usul yang dikemukakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Y.B Gobind Singh Deo agar penyedia perkhidmatan dapat menawarkan pemberian rebat kepada pelanggan lama yang telah melanggan agar harga baharu yang ditawarkan dapat dinikmati oleh pelanggan mereka yang setia.

CFM percaya bahawa pengguna mempunyai hak untuk mendapat kemudahan akses internet dengan kualiti yang lebih baik yang dapat membantu membentuk masyarakat yang lebih berinformasi. Usaha ini dapat dicapai melalui kerjasama yang lebih baik antara semua pihak berkepentingan yang berkaitan dengan pemain-pemain industri untuk bersama-sama memainkan peranan penting dalam pembangunan sambungan internet dalam negara selain dapat membentuk masa depan landskap digital Malaysia yang lebih cemerlang.

#HakAndaKeutamaanKami

#JadilahPenggunaYangBijak