Home / CFM Buzz / Interaksi / NAJWA LATIF- BAKAT DARI YOUTUBE

NAJWA LATIF- BAKAT DARI YOUTUBE

~Penyanyi dan idola remaja, Najwa Latif mempunyai pengikut muziknya tersendiri. Bintang muda yang semakin meningkat naik ini berkongsi serba sedikit tentang kehidupannya dan inspirasi di sebalik kerjaya seninya.~

Latar belakang Najwa Latif.

Nama sebenar saya Imratul Najwa binti Abdul Latif tetapi lebih dikenali sebagai Najwa Latif. Berusia 23 tahun pada tahun ini dan berasal dari Batu Pahat, Johor. Ibu bapa saya adalah guru. Saya anak ketiga dari empat adik beradik. Saya sedang menuntut dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris (Kepujian) di Universiti Antarabangsa UNITAR. Dalam masa yang sama, saya juga menyanyi secara separuh masa.

Bagaimana boleh menjadi seorang penyanyi dan menjalankan latihan muzik?

Ibu bapa sangat menyokong saya dalam bidang muzik ini. Selepas saya berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR), bapa memberi saya peluang untuk mengikuti kelas muzik. Pada masa itu, saya dan adik perempuan sangat meminati kumpulan pop duo dari Norway, M2M serta potongan rambut mereka. Adik perempuan saya memilih untuk bermain piano dan saya pula memilih gitar. Saya juga meminati Justin Bieber kerana suaranya yang unik serta kebolehannya bermain gitar. Atas sebab itulah saya turut memilih untuk bermain gitar. Namun selepas beberapa sesi kelas latihan, saya menjadi bosan dan tidak mahu meneruskannya.

Kakak dan bapa mencadangkan supaya saya memuat naik sesi latihan saya ke dalam YouTube. Selepas beberapa bulan saya menyanyikan beberapa lagu popular, seorang blogger bernama CikEpal membuat ulasan tentang saya dan tontonan video di YouTube saya naik mendadak. Ia berlaku pada tahun 2011 selepas beberapa bulan saya memuat naik video di YouTube, malah ada syarikat rakaman yang memberi tawaran. Akhirnya saya ke NAR Records iaitu syarikat rakaman pertama saya sehingga sekarang. Pada usia 16 tahun, saya mengeluarkan lagu pertama saya iaitu Cinta Muka Buku yang dicipta sendiri oleh saya dan liriknya pula ditulis oleh kakak saya. Lagu itu berjaya mendapat satu juta tontonan dalam masa beberapa minggu.

Dari mana datangnya inspirasi untuk mencipta lagu?

Inspirasi saya datang dari orang sekeliling dan keluarga. Dari pengalaman mereka, saya dan kakak mencipta lagu yang mempunyai unsur cinta, persahabatan, dan nilai-nilai positif. Gaya muzik saya lebih kepada pop kerana kebanyakan lagu saya ditulis dalam bentuk yang mudah difahami oleh semua orang.

Bagaimana proses kreatif dilakukan dalam penghasilan lagu-lagu anda?
Kebanyakan lagu yang dihasilkan adalah secara spontan. Proses kreatif adalah sesuatu yang tidak boleh dipaksa. Kadangkala, proses kreatif bermula dengan hanya satu perkataan atau beberapa baris ayat dan saya kembangkannya menjadi lirik sehingga ia menjadi sebuah lagu.
Apakah antara teknologi yang anda gunakan untuk menghasilkan lagu?

Saya sebenarnya lebih gemar menghasilkan lagu menggunakan gitar. Selalunya saya akan menggunakan gitar untuk mencipta melodi dan disertai alat muzik yang lain. Tetapi saya juga terbuka untuk menghasilkan lagu dengan menggunakan teknologi lain pada masa akan datang.

Bagaimana anda membahagikan masa antara pelajaran dan menyanyi?
Saya amat menyukai bahasa Inggeris dan saya mahu memperbaiki kefasihan saya. Bermain alat muzik juga membuatkan saya lebih tenang. Memang seronok untuk buat kedua-duanya sekali. Syarikat rakaman saya bersetuju untuk menyusun jadual nyanyian pada hujung minggu, manakala pada hari biasa saya akan pergi ke kelas. Pada mulanya memang agak sibuk, namun saya sudah terbiasa dan saya merasakan ia adalah pengalaman yang menarik.
Apa pandangan anda tentang perkhidmatan penstriman muzik online seperti Spotify dan YouTube. Adakah ia memberi kesan terhadap kerjaya anda sebagai artis?

Medium seperti itu sebenarnya sangat bagus untuk peminat mengetahui hasil kerja terbaharu saya. Dahulu orang terpaksa ke kedai untuk mencari CD artis. Untuk menghasilkan CD pula, kedudukan anda dalam bidang muzik perlu kukuh dan mantap. Tetapi kini semuanya menggunakan platform online. Dengan medium digital baru yang kita ada sekarang,lebih mudah untuk artis berkongsi perkembangan mereka kepada peminat dan mendapatkan pendedahan.

Kini anda sudah popular, bagaimana anda jalani kehidupan sekarang?

Saya tidak pernah merasakan diri saya seorang yang terkenal. Saya hanya seorang gadis yang minat pada muzik, dan bertuah dapat menghasilkan lagu dan menyanyikannya di atas pentas bersama-sama peminat di seluruh negara. Ianya pengalaman yang sangat menarik. Saya bersyukur dan amat menghargai mereka yang mahu menyanyikan lagu-lagu saya.

Bagaimana pengalaman berkolaborasi bersama penyanyi China, Lee Hom pada tahun 2013? Apakah perasaan anda bila dapat bersama di atas satu pentas?

Apabila pengurus saya memaklumkan bahawa Lee Hom telah menonton video saya di YouTube menyanyikan lagu beliau, saya merasakan saya adalah orang yang paling bertuah. Saya amat terharu dengan sambutan penonton sebaik sahaja saya dan Lee Hom naik ke pentas. Hanya dua perkara yang terlintas dalam fikiran saya ketika itu, Lee Hom seorang yang kacak dan impian saya telah menjadi kenyataan.

Apa perancangan anda selepas ini dalam bidang nyanyian?

Saya mahu menghabiskan pengajian saya di peringkat Sarjana dalam bidang TESL dalam tempoh lima tahun akan datang. Bagi kerjaya nyanyian saya pula, saya akan terus berkongsi muzik yang saya hasilkan selagi ada orang yang ingin mendengar.

Apakah perkembangan terkini industri muzik Malaysia, dan apakah yang boleh dilakukan untuk membawa industry muzik Malaysia ke peringkat antarabangsa?
Apa yang saya dapat lihat, industri tempatan semakin meriah dengan pendatang baharu. Masih ada ruang untuk diperbaiki lagi bagi industri muzik Malaysia. Bagi saya, semua pemuzik tempatan perlu dilayan sama rata kerana setiap kami ada kelebihan masing-masing terhadap muzik yang kami bawa, dan bukan sekadar reputasi semata-mata.
Nasihat buat yang bercita-cita menjadi artis di luar sana
Teruskan perjuangan muzik anda. Teruskan usaha, dan yang paling penting jadilah orang yang berguna kepada diri sendiri dan keluarga.


SENARAI LAGU NAJWA

Berikut antara lagu Najwa Latif yang popular di YouTube.

  Cinta Muka Buku

bit.ly/1QNCDq7

Ini adalah lagu pertama sebagai pengenalan dalam industri muzik Malaysia. Saya dan kakak menamakan lagu ini sebagai lagu “cari makan.”

  AdaMu

bit.ly/1OlGO5u

Lagu ini mempunyai nilai sentimental yang amat besar buat saya dan kakak. Ia ditulis ketika bulan puasa pada tahun 2012, dan dikeluarkan pada masa sama tahun berikutnya.

  Satu

bit.ly/1OPQoOL

Ini adalah salah satu single terbaharu saya. Ia adalah lagu yang mengingatkan kita bahawa tidak salah untuk memberikan peluang kedua dan sokongan kepada orang yang tersayang untuk kebaikan bersama.

 Sumber : SHOUT Q4 2015, consumerinfo.my #interaksi #CFMmalaysia  #CFMshout

Cadangan Artikel

AIMAN SALIM – PELAWAK ATAS TALIAN

Pada zaman teknologi masa kini, siapa saja boleh terus dikenali dengan bakat tersendiri melalui bantuan …

DR. RUZAIMI MAT RANI – INSPIRASI MALAYSIA

LATAR BELAKANG PROJEK YANG DIJALANKAN?Saya mengambil nisiatif untuk membudayakan kemahiran melukis dalam membentuk generasi celik kemahiran komunikasi visual. Generasi …

Ingin Komen?