Home / Isu Pengguna / Jenis Aduan / PANGGILAN PALSU DAN BAGAIMANA UNTUK MENGHADAPI MEREKA!

PANGGILAN PALSU DAN BAGAIMANA UNTUK MENGHADAPI MEREKA!

Oleh kerana kita semakin bergantung pada telefon pintar, penjahat dan pencuri mengambil kesempatan menggunakan platform ini untuk melakukan perbuatan jahat mereka serta cuba untuk memisahkan kita dengan wang yang kita telah peroleh hasil usaha kita. Kini, kita hidup pada zaman di mana kita tidak boleh mengabaikan panggilan masuk daripada orang yang kita tidak kenali dan berharap ia akan berakhir.
Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, terdapat peningkatan ketara bagi jumlah rungutan dan aduan daripada pengguna mudah alih mengenai spam dan panggilan palsu yang mereka terima. Ia nampak seperti terdapat kenaikan mengejut mengenai panggilan yang tidak diminta ke nombor telefon pengguna iaitu daripada orang yang cuba untuk menjual sesuatu sehingga kepada mereka yang berpura-pura menyamar sebagai pihak bank atau pihak berkuasa dan meminta kita bertindak untuk perkara yang melibatkan undang-udang yang serius. Daripada kita menjadi mangsa “sembelihan” sindiket penipuan, kita perlu mengambil inisiatif untuk melindungi diri kita daripada “penjahat digital” ini dan SHOUT! akan berkongsi cara untuk anda melakukannya.

Oleh: Ahmad Izham Khairuddin

*—————————————-*

APA YANG PERLU ANDA TAHU DAN AMBIL BERAT!
Kadangkala sukar untuk kita membezakan antara panggilan yang benar dan palsu. Walau bagaimanapun, jika si pemanggil bercakap dengan anda mengenai salah satu perkara seperti di bawah, anda berhak untuk berasa curiga.
• Meminta data peribadi anda (seperti nombor kad pengenalan atau nombor kad kredit) untuk mengesahkan identiti anda.
• Mengarahkan anda untuk menghubungi mereka semula ke nombor yang berlainan dan bukannya nombor yang terpapar di ID Pemanggil.
• Memaklumkan kononnya anda telah memenangi hadiah, pertandingan, atau barang berharga yang lain tetapi anda perlu memberikan maklumat akaun bank atau membuat pembayaran untuk memudahkan proses tuntutan.
• Memaklumkan kononnya anda mempunyai bayaran tertunggak atau saman yang anda perlu bayar pada hari yang sama untuk mengelakkan tindakan undang-undang.
• Meminta anda mengesahkan kod PIN yang dihantarkan ke telefon anda walaupun anda tidak melakukan sebarang kemas kini akaun, servis, atau profil.

 

APA YANG PERLU ANDA LAKUKAN JIKA MENERIMA PANGGILAN MENCURIGAKAN!
Kadangkala sukar untuk mengetahui panggilan yang benar atau panggilan palsu. Walau bagaimanapun, ambil perhatian terhadap petunjuk berikut:
• Jangan sekali-kali mendedahkan butiran peribadi atau butiran dari mana-mana akaun anda kepada orang lain walaupun atas tujuan untuk mengesahkan identiti. Sebaliknya, maklumkan kepada pemanggil yang anda akan menghubunginya semula bersama butiran berkaitan. Hal ini bertujuan untuk memberikan anda masa untuk memastikan yang anda menghubungi nombor telefon yang sah, sama ada menerusi laman web rasmi penyedia perkhidmatan atau daripada kontrak atau bil yang ada bersama anda.
• Elakkan dari menyebut perkataan “ya” apabila ditanyakan soalan sebaliknya jawab dengan menggunakan ayat penuh kerana kebanyakan panggilan seperti ini dirakam dan mereka mungkin akan menggunakan rakaman itu sebagai bukti persetujuan anda terhadap sesuatu langganan atau pembelian.
• Pastikan anda merakam perbualan telefon menggunakan telefon pintar anda sebagai bukti jika berlaku sebarang masalah. Telefon pintar anda boleh melakukannya melalui tetapan telefon atau anda juga boleh muat turun aplikasi yang berkaitan untuk tujuan ini.
• Tanya nama dan jawatan mereka, termasuk nama organisasi mereka yang lengkap.
• Minta butiran lengkap mengenai sebab mereka menghubungi anda; jika ia berkaitan hutang tertunggak, minta nombor kontrak, bila ia ditandatangani, berapakah jumlah bayaran, apakah alamat yang disenaraikan di dalam kontrak, dan lain-lain yang berkaitan.
• Jika anda yakin bahawa ia adalah panggilan palsu, buat laporan polis dan sediakan rakaman telefon atau sebarang nota yang telah anda catat untuk memudahkan siasatan pihak polis.
• Perkara paling penting ialah untuk mengawal daripada rasa tertekan untuk memberikan butiran peribadi anda atau maklumat berkaitan, walaupun anda seakan diugut untuk melakukannya. Tegas dengan pendirian anda untuk menghubunginya semula bersama dengan maklumat yang diperlukan.
• Sentiasa peka tentang berita sindiket penipuan terkini dan beri perhatian terhadap pesanan khidmat masyarakat atau makluman daripada pihak penyedia perkhidmatan anda.

 

INI YANG PERLU ANDA LAKUKAN BERMULA SEKARANG!
 1. Cara paling mudah untuk menangani panggilan yang tidak diketahui atau panggilan palsu ialah dengan TIDAK menjawabnya. Hal ini sepatutnya mudah kerana fungsi ID pemanggil di telefon anda biasanya akan menunjukkan siapa yang membuat panggilan dan dari situ anda dapat mengetahui sama ada nombor itu dikenali atau tidak. Dengan tidak menjawab panggilan nombor yang bukan dalam senarai buku telefon anda, anda telah pun menyelesaikan sebahagian daripada masalah tersebut.
Walau bagaimanapun, untuk mengelak anda terlepas sebarang panggilan penting, anda perlu pastikan nombor penting itu disimpan di dalam senarai buku telefon anda. Nombor-nombor itu termasuklah nombor-nombor kesemua penyedia perkhidmatan anda (telco, bank, syarikat utiliti, nombor pejabat anda dan pasangan anda, nombor sekolah anak-anak anda, dan lain-lain). Dengan ini, anda boleh lakukan perkara berikut dengan tenang dan gembira apabila menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali: BATALKAN, BIARKAN IA BERDERING atau ALIHKAN KE PETI MEL SUARA ANDA. Jika anda masih tidak berapa pasti untuk menggunakan tip ini, jalan terbaik ialah dengan mengalihkan panggilan-panggilan tersebut ke peti mel suara anda. Dengan cara ini, jika panggilan itu benar-benar penting, pemanggil akan meninggalkan pesanan dan anda boleh dengarkannya kemudian. 

2. Walaupun begitu, sindiket penipuan ini mungkin akan terus mencari jalan untuk menembusi talian anda dan ia biasanya berlaku antara salah satu daripada dua cara ini. Cara pertama ialah mereka menggunakan kaedah spoofing di mana mereka menukar ID Pemanggil dan dipadankan dengan penyedia perkhidmatan yang ada di dalam senarai buku telefon anda. Oleh sebab anda telah pun menyimpan nombor tersebut, anda biasanya akan fikir ia adalah selamat untuk menjawab panggilan tersebut. Dalam kes ini, sila rujuk kembali bahagian mengenai cara mengenal pasti panggilan palsu yang telah diterangkan sebelum ini. Jika anda telah biasa dengan tetapan telefon anda, anda mungkin akan jumpa pilihan yang membenarkan panggilan daripada senarai buku telefon anda sahaja boleh melepasi talian manakala yang lain sama ada akan ditolak atau dibawa ke peti mel suara anda.

3. Cara lain yang masih boleh dilakukan oleh sindiket panggilan palsu ialah dengan meninggalkan pesanan suara dan ia kedengaran sangat penting untuk anda menghubunginya semula. Bagaimanapun, rujuk semula bahagian mengenal pasti panggilan scam untuk mengetahui sama ada anda berurusan dengan orang yang betul atau tidak. Dalam keadaan ini, apabila anda membuat panggilan semula, ada beberapa perkara yang anda boleh lakukan untuk mengesahkan identiti orang yang anda hubungi.

4. Sentiasa lakukan carian mengenai nombor yang meminta anda untuk menghubungi mereka semula. Cara paling mudah untuk melakukannya ialah dengan memasukkan nombor di dalam carian Google atau anda boleh terus pergi ke SEARCH YELLOW DIRECTORY atau FINDWHOCALLSME ataupun WHOCALLSME dan masukkan nombor yang dicurigai itu. Laman-laman web atas talian ini akan mempunyai bahagian untuk nombor-nombor penduduk Malaysia di mana anda boleh mengetahui sama ada panggilan nombor yang sedang anda lakukan turut berkait dengan orang lain.

5. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, anda juga boleh bergantung kepada aplikasi mudah alihseperti Trucaller, Nomorombo atau banyak lagi aplikasi lain untuk membantu anda mengenal pasti siapakah yang menghubungi anda dan juga menyekat nombor yang sering menghubungi anda. Sesetengah aplikasi turut membantu mengenal pasti panggilan palsu menerusi data yang dikumpulkan oleh orang ramai. Lakukan kajian anda dan muat turun aplikasi yang bersesuaian dengan keperluan anda.

6. Walaupun dengan cara tidak memberi nombor telefon anda kepada manamana pihak merupakan pilihan yang terbaik, namun anda tentu masih inginkan tawaran hadiah dan diskaun tetapi tidak selesa berkongsi nombor telefon peribadi anda kerana takut diganggu. Antara pilihan percuma ialah dengan mendaftar Google Voice dan dapatkan nombor tempatan US secara percuma. Walaupun mendaftar untuk mendapatkannya agak rumit tetapi tidak mustahil. Memiliki nombor tempatan US juga mungkin akan menghalang sebarang panggilan pemasaran dan spam daripada mengganggu anda. Walaupun mereka berjaya menembusi talian, anda tidak perlu risau kerana panggilan itu akan dipindahkan dengan selamat ke peti mel suara anda.

7. Cara lain untuk mendapatkan nombor alternatif ialah melalui Skype dan aplikasi serupa yang lain seperti Burner, Hushed atau Too tetapi ini adalah perkhidmatan berbayar. Cara paling mudah untuk mendapatkan nombor alternatif ialah dengan melanggan perkhidmatan pasca bayar melalui penyedia perkhidmatan tempatan dan terdapat beberapa pelan yang menawarkan harga kurang daripada RM10 sebulan. Anda boleh menggunakan nombor alternatif ini untuk sebarang keperluan berkaitan dengan pertandingan, diskaun, borang atas talian dan langganan, atau penggunaan lain yang serupa. Jadi jika anda menerima sebarang panggilan ke nombor ini, anda boleh pastikan ia adalah daripada seseorang atau organisasi yang anda telah berikan kebebasan untuk berhubung dan anda boleh mengabaikannya jika anda mahu tanpa rasa bimbang.

 

JIKA SEMUANYA GAGAL!
Jika anda dapati yang anda sering menjawab terlalu banyak panggilan yang tidak diingini, anda mungkin perlu pertimbangkan untuk menukar nombor telefon anda, dan kali ini pastikan nombor baharu anda sebagai maklumat yang sangat peribadi dan rahsia. Tawaran powerbank percuma sebagai pertukaran dengan nombor telefon anda mungkin tidak berbaloi.

Sumber : SHOUT Q4, 2017

Anda suka artikel, tip ini? Kongsikan di FacebookTwitter, dan Instagram anda. ‘Follow’ kami untuk ketahui lebih banyak tip & info terkini mengenai komunikasi & multimedia.

~consumerinfo.my :: another website by Communications & Multimedia Consumer Forum of Malaysia (CFM)~ 

Cadangan Artikel

‘TROUBLESHOOTING’ GANGGUAN PERKHIDMATAN INTERNET

Tahukah anda? Anda sebenarnya boleh melakukan DIY atau ‘troubleshooting’ sendiri jika berlaku gangguan perkhidmatan internet dengan kaedah ini | CFM

SARANAN CFM KEPADA PENGGUNA JIKA MENERIMA PANGGILAN PALSU, EMEL ATAU SMS DARIPADA ‘SCAMMER’

Bagaimana cara untuk mengesan 'scammers' ini? Ketahui lebih lanjut penipuan 'scam' ini terutamanya buat para pengguna perbankan, kad kredit, 'online'. #JanganMudahPercaya #SiasatDahuluSebelumBeriSebarangMaklumat | CFM

Ingin Komen?