Home / CFM Buzz / Kenyataan Media / 2017 / PENGGUNA BOLEH RUGI BESAR MELALUI CETAK ROMPAK DIGITAL

PENGGUNA BOLEH RUGI BESAR MELALUI CETAK ROMPAK DIGITAL

CYBERJAYA, 7 SEPTEMBER 2017 – Sebagai sebuah organisasi yang memberi fokus kepada hak-hak pengguna,  Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) menggesa pengguna untuk lebih berwaspada terhadap bahaya cetak rompak digital yang dilihat semakin berleluasa dan dapat menjejaskan pengguna.

Pengguna yabg melanggan perkhidmatan disediakan oleh penyedia perkhidmatan tidak berlesen, pengguna, sudah dikira terlibat dengan kegiatan cetak rompak digital, tidak kira sama ada langganan dalam bentuk perkhidmatan penstriman haram atau perkhidmatan televisyen (TV) satelit tanpa lesen. Walaupun mengakses kandungan digital secara haram ini dilihat mudah dan murah bahkan ada yang boleh didapati secara percuma, namun tidak bermakna ia tidak mempunyai risiko. Pengguna dinasihatkan agar tidak melanggan perkhidmatan tidak sah yang menyalahi undang-undang.

Menurut laporan akhbar tempatan pada April tahun ini, pihak polis telah menahan beberapa ahli sindiket yang dipercayai terlibat dalam menawarkan perkhidmatan TV satelit haram yang dipercayai telah beroperasi sejak tahun 2015 dan telah melibatkan lebih daripada 30,000 pelanggan di seluruh negara.

Pengguna perlu mendapatkan maklumat yang sah bagi mengelakkan diri daripada mudah ditipu dengan tawaran langganan perkhidmatan yang tidak terkawal ini. Ia adalah amat penting bagi pengguna untuk memahami sekiranya sindiket ini menawarkan tawaran yang sangat luar biasa sehingga sukar untuk mempercayai tawaran sebegitu wujud, dan tidak mustahil ia mungkin mempunyai muslihat yang mengaburi pelanggan sehingga boleh menyebabkan kerugian.

Cetak rompak digital bukan sahaja menjejaskan media dan syarikat penyedia kandungan tetapi juga berisiko memudaratkan pengguna. Sekiranya terdapat masalah daripada langganan perkhidmatan kandungan tidak berlesen, pengguna tidak akan mendapat penyelesaian juga ganti rugi daripada pihak berkuasa yang berkaitan mahupun membuat aduan rasmi kerana perkhidmatan tersebut tidak didaftarkan secara sah. Pengguna juga berisiko untuk kehilangan wang tanpa sebarang notis apabila pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas perkhidmatan haram tersebut.

Di samping itu, perkhidmatan TV satelit dan penstriman tidak sah ini menyediakan kandungan tidak ditapis yang boleh mendedahkan pengguna terutamanya kanak-kanak, kepada kandungan yang tidak sesuai dan tidak diingini.

Membeli peranti kandungan yang tidak disahkan juga mempunyai ancaman tersendiri kerana peralatan tersebut tidak diperakui keselamatannya dan tidak mempunyai pensijilan yang diiktiraf serta mempunyai risiko kerosakan lebih tinggi sehingga boleh menyebabkan kerosakan pada peralatan lain. Pengguna juga berhadapan dengan risiko ‘dijangkiti’ ‘perisian jahat’ atau malware apabila memasang peranti dekoder (set-top boxes) dengan aplikasi licik pada rangkaian jalur lebar rumah. Ia boleh menyebabkan pengguna terdedah kepada kecurian data persendirian dan jenayah siber lain.

Sebagai alternatif kepada kandungan digital cetak rompak, pengguna boleh melanggan perkhidmatan kandungan yang sah seperti HyppTV, iflix, Tonton selain perlu memastikan peranti yang digunakan juga telah disahkan. Dengan melanggan perkhidmatan berlesen dan membeli peranti yang disahkan, pengguna dijamin dapat memperoleh perkhidmatan berkualiti dan boleh mendapatkan penyelesaian atau ganti rugi sekiranya terdapat masalah dengan langganan mereka.

CFM berperanan penting dalam memperkasakan pengguna dan sentiasa komited untuk melindungi hak-hak pengguna di dalam industri komunikasi dan multimedia. Dalam era di mana pelbagai maklumat begitu mudah diperoleh walaupun tidak pasti kesahihannya, CFM adalah platform pilihan pengguna untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan tips berkaitan perkhidmatan komunikasi dan multimedia. Laporkan aduan anda yang tidak diselesaikan kepada CFM dengan menghubungi talian hotline kami di 1-800-18-2222 atau emel aduan@cfm.org.my

 

#HakAndaKeutamaanKami

#JadilahPenggunaYangBijak

Cadangan Artikel

CFM SELESAIKAN 99% ADUAN KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA PENGGUNA BAGI TAHUN 2016 – BIL DAN CAJ CATAT ADUAN TERTINGGI DITERIMA CFM

  2016 JUMLAH ADUAN SAH 7,556 JUMLAH PERTANYAAN AM 2,385 5 KATEGORI ADUAN TERTINGGI 2016 …

Ingin Komen?