Bagi Rhys William, perjalanan kembaranya telah menemukan beliau dengan apa yang dipanggil “tempat tinggal”. Lelaki Inggeris yang terkenal dengan kepetahannya berbahasa Melayu ini telah menikmati kehidupan beliau di Malaysia dengan mencuba sendiri makanan-makanan terbaik di sini. Tidak keterlaluan untuk dikatakan yang beliau lebih “Malaysia” berbanding rakyat tempatan sendiri.

SEMBANG SANTAI BERSAMA RHYS WILLIAM

1. Bagaimana anda boleh mengambil keputusan untuk tinggal di Malaysia?

Pertama kali saya datang ke Malaysia ialah pada musim cuti tahun 2012 iaitu dalam tempoh dua minggu. Saya terus jatuh cinta dengan negara ini dan bercadang untuk tinggal lebih lama dan cuba untuk merasai kehidupan di sini. Ada sesuatu tentang suasana, masyarakat, dan makanannya yang membuatkan dua minggu tidak cukup untuk saya teroka semuanya. Jadi pada tahun 2013, saya kembali semula ke Malaysia dan tinggal selama dua bulan, dan dua bulan akhirnya menjadi empat bulan, dan sekarang saya sudah tinggal di sini hampir lima tahun!

2. Apakah cabaran terbesar dalam mempelajari bahasa Melayu dan bagaimana anda mengatasinya?

Cabaran terbesar dalam mempelajari bahasa Melayu ialah untuk memahami loghat tempatan (kerana ada perbezaan yang besar di antara bahasa baku dan bahasa pasar). Saya mengatasi cabaran ini dengan cara berkawan dengan orang tempatan dan meminta mereka mengajar saya loghat tempatan. Saya juga mengambil setiap peluang yang ada untuk menggunakan bahasa Melayu. Antara kesukaran yang lain ialah untuk memberanikan diri berhadapan dengan masyarakat tempatan dan bercakap menggunakan bahasa mereka kerana saya agak pemalu orangnya. Cara saya mengatasinya dengan bersikap “selamber je” dan menggunakan bahasa Melayu di setiap peluang yang ada dan cuba untuk bercakap walaupun malu. Saya juga mula menulis di blog saya (www.matsallehcarimakan.com) di mana saya akan meminta orang baca dan berikan maklum balas. Selepas saya mendapat komen positif di blog dan juga di luar, ia memberikan saya keyakinan dan motivasi untuk terus belajar dan bercakap menggunakan bahasa ini.

3. Apakah perkataan/frasa bahasa Melayu kegemaran anda?

Secara jujurnya ada banyak untuk dipilih. Saya sendiri peminat tegar peribahasa dan perumpamaan kerana ia boleh digunakan sebagai metafora untuk menerangkan sesuatu situasi atau tindakan yang berbeza. Namun jika saya perlu pilih satu, saya akan pilih “durian runtuh”. Saya suka peribahasa ini kerana ia menunjukkan betapa rakyat Malaysia sangat suka durian, dan durian runtuh juga membawa maksud keuntungan yang tidak dijangka.

4. Siapa yang anda iktiraf sebagai ikon?

Saya menggemari ramai ikon di dalam dan di luar Malaysia. Jika saya perlu pilih satu daripada semua ikon di Malaysia, kemungkinan besar saya akan pilih P. Ramlee. Ini kerana karya-karya beliau adalah karya-karya yang tidak ditelan dek zaman dan digemari oleh seluruh rakyat Malaysia. Saya percaya sumbangan beliau terhadap industri hiburan telah membantu membentuk industri pada hari ini. Kebanyakan filem beliau adalah sebahagian daripada filem bahasa Melayu terawal yang pernah saya tonton untuk mempelajari bahasa Melayu dan jenaka yang disampaikan masih boleh dianggap menghiburkan sehingga ke hari ini. Saya juga meminati P. Ramlee kerana beliau sangat terkenal dan legasinya masih lagi kekal walaupun kini beliau sudah tiada.

5. Tempat kegemaran anda di Malaysia? Mengapa?

Saya seorang penggemar makanan. Beberapa tempat kegemaran saya berada di luar kawasan bandar di mana saya boleh mendapatkan hidangan yang asli dan tradisional. Saya suka Pulau Pinang kerana terdapat banyak makanan lazat yang boleh saya dapatkan di sana; dan saya juga sangat suka Kuching, Sarawak, juga kerana makanannya!

6. Makanan Malaysia kegemaran anda ialah…

Sekali lagi, terdapat banyak pilihan! Jika saya perlu pilih satu daripada makanan kegemaran saya, tentulah saya pilih Nasi Kerabu. Pertama kali saya mencubanya di Kelantan, saya tidak faham mengapa nasinya berwarna biru. Apabila saya tahu yang berasnya direndam dengan bunga tertentu (bunga telang) untuk menjadikannya berwarna biru, dan terdapat teknik khas untuk memakannya (anda perlu mencampurkan semua bahan sehingga sebati), makanan ini terus menjadi hidangan kegemaran saya, dan tidak kira berapa kali saya makan, saya masih menyukainya!

7. Telefon bimbit pertama anda ialah…

Telefon bimbit pertama saya ialah Nokia 3310 iaitu sewaktu saya masih di bangku sekolah. Saya masih ingat saiz dan beratnya yang seakan batu bata. Tetapi kita boleh main permainan “Snake” dengannya dan ia dianggap “cool” pada waktu itu kerana kita juga boleh menukar badannya.

8. Alat yang akan dibawa ketika melancong…

Saya sentiasa pastikan yang saya akan bawa telefon bimbit dan powerbank saya. Saya tahu kebanyakan tempat yang saya pergi, saya boleh gunakan telefon bimbit saya untuk mencari maklumat yang berguna atau melakukan sedikit kajian. Jadi saya perlu pastikan yang saya bawa powerbank kerana ia sangat penting!

9. Anda peminat Android atau Apple?

Saya peminat Android. Saya pernah menggunakan Apple suatu ketika dahulu tetapi ia banyak kekurangan dari sudut perisian yang saya perlukan dan saya dapati agak sukar untuk menggunakannya. Android menawarkan lebih banyak perisian dan penyesuaian. Jadi banyak yang boleh saya ubah mengikut cita rasa saya.

10. Lima aplikasi yang mesti ada di telefon bimbit anda?

WhatsApp, Google Maps, Facebook, Instagram dan Gmail.

11. Perkara pertama yang akan anda lihat di telefon bimbit apabila anda bangun tidur?

Perkara pertama yang saya sering lakukan ialah memeriksa WhatsApp untuk memastikan saya tidak terlepas sebarang mesej penting untuk sepanjang hari tersebut. Saya banyak berkomunikasi melalui WhatsApp, jadi ia akan kekal menjadi aplikasi yang penting dalam hidup saya.

12. Saluran media sosial kegemaran anda ialah…

Saya sangat sukakan Facebook kerana melaluinya kita boleh berhubung dan berbual dengan ramai orang. Ramai kawan-kawan dan pengikut-pengikut saya dari Malaysia ada di Facebook. Antara medium terawal saya kongsikan penulisan bahasa Melayu saya ialah di Facebook dan itulah salah satu cara saya dapat berjumpa dan berkawan dengan orang tempatan di samping mendapat maklum balas berkenaan penggunaan bahasa Melayu saya.

13. Tiga perkataan yang menggambarkan diri anda

Penggemar makanan, Sukakan cabaran, dan Berfikiran terbuka.

14. Mana yang akan anda pilih, telefon bimbit dengan kamera yang hebat atau bateri yang tahan lama?

Saya akan pilih bateri yang tahan lama. Saya kerap menggunakan telefon bimbit dan baterinya selalu cepat habis. Walaupun sebuah telefon bimbit memiliki kamera yang biasa, kita masih boleh edit gambar yang diambil untuk jadi lebih cantik. Tetapi kalau bateri habis, kita tidak boleh ambil gambar langsung!

15. Apakah hobi kegemaran anda?

Selain melawat tempat-tempat baharu dan mencuba pelbagai jenis makanan, saya juga suka aktiviti luar seperti berkhemah dan mendaki.

16. Untuk menghilangkan stress, saya akan…

Biasanya saya akan pergi mendaki selama beberapa hari dengan kawan-kawan saya. Apabila berada jauh dari kesibukan bandar dan menghidu bau hutan, ia adalah penghilang stress yang berkesan.

17. Jika anda boleh di bawa ke satu tempat pada waktu tertentu, ke mana anda ingin pergi dan mengapa?

Saya ingin mengembara ke waktu lampau, katakan sekitar 20-50 tahun yang lalu, di mana saya boleh melihat Malaysia di awal usia dan melihat peringkat awal pembangunannya. Saya fikir pasti menarik jika kita dapat melihat perbezaan ketara Malaysia suatu ketika dahulu dan bagaimana pembangunan telah mengubah negara ini.

18. Apakah pengalaman kembara yang paling anda ingati?

Pengalaman kembara yang paling tidak boleh saya lupakan ialah selepas saya baru berpindah ke Malaysia pada tahun 2013 – saya telah menyewa kereta dan berjalan mengelilingi Semenanjung Malaysia. Hanya dalam masa lebih seminggu, saya berjaya sampai ke seluruh negeri di Semenanjung dan ia merupakan pengalaman yang sangat hebat. Saya sukakan pemandangan negeri-negeri di Malaysia yang berbeza-beza dan semestinya peluang dapat merasa hidanganhidangan terkenal di setiap negeri yang memang tidak boleh saya lupakan. Saya fikir pengalaman perjalanan ini merupakan salah satu perkara yang membuatkan saya jatuh cinta dengan Malaysia kerana saya bukan sahaja dapat merasai pengalaman hidup di bandar, tetapi juga di kampung.

19. Pernahkah anda mengalami masalah dengan perkhidmatan telekomunikasi anda? Adakah anda tahu tentang CFM dan bagaimana ia boleh membantu sebagai perantara dalam menyelesaikan isu servis telekomunikasi dan penyedia perkhidmatan yang lain?

Setakat ini saya tidak mengalami sebarang masalah serius dengan perkhidmatan telekomunikasi saya. Kebanyakan perkara boleh diselesaikan dengan mudah menerusi lawatan ke pusat servis mereka. Sebelum ini, saya tidak tahu tentang CFM yang boleh membantu kita menjadi sebagai perantara, tapi sekarang saya sudah tahu!

20. Apa pendapat anda tentang perkhidmatan internet di Malaysia?

Saya suka perkhidmatan internet di sini. Biasanya di mana sahaja saya pergi, akan ada perkhidmatan 4G dan 3G. Internet talian tetap di bandar juga agak pantas.

Sumber : SHOUT Q4, 2017consumerinfo.my #interaksi #CFMmalaysia  #CFMshout