Home / CFM Buzz / Kenyataan Media / 2016 / TERUS BERHUBUNG DENGAN KELUARGA TERSAYANG SEMASA MENGERJAKAN IBADAH HAJI TANPA RISAU DENGAN BAYARAN BIL TELEFON

TERUS BERHUBUNG DENGAN KELUARGA TERSAYANG SEMASA MENGERJAKAN IBADAH HAJI TANPA RISAU DENGAN BAYARAN BIL TELEFON

CFM KONGSI TIPS PENTING PERAYAUAN ANTARABANGSA UNTUK TELEFON MUDAH ALIH ANDA

KUALA LUMPUR, 6 SEPTEMBER 2016 –Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) mengeluarkan beberapa tip berguna buat pengguna telefon mudah alih yang ke luar negara terutamanya buat ribuan rakyat Malaysia yang berlepas ke Arab Saudi untuk menunaikan ibadah haji di Tanah Suci. Tip-tip yang dikongsi oleh CFM dapat digunakan pengguna untuk mengelak daripada menerima jumlah bil telefon yang tinggi apabila pulang ke tanah air.

Telefon pintar menjadi alat penting untuk pengguna terus berhubung dengan keluarga dan rakan-rakan apabila berada jauh dari rumah. Dengan adanya perkhidmatan perayauan antarabangsa ditawarkan oleh syarikat telekomunikasi tempatan, membuat panggilan ke Malaysia dan menghantar berita terkini melalui media sosial menjadi semakin mudah dan lancar. Namun, pengguna perlu tahu caj yang dikenakan ke atas mereka mengikut jenis sambungan yang berbeza ketika berada di luar negara selain perlu tahu apa yang boleh dilakukan bagi memastikan mereka dapat mengawal perbelanjaan semasa menggunakan perkhidmatan tersebut.

“CFM mengucapkan selamat menjalankan ibadah haji kepada semua jemaah haji Malaysia dan semoga mendapat haji yang mabrur. Kami ingin berkongsi beberapa maklumat mengenai cara untuk terus berhubung dengan orang tersayang yang berada di tanah air tanpa dikenakan caj berlebihan. Mengikut rekod CFM, terdapat peningkatan ketara setiap tahun bagi jumlah aduan mengenai perayauan antarabangsa. Sehingga Julai ini, CFM telah menerima sebanyak 248 aduan mengenai caj panggilan suara antarabangsa dan data perayauan,” kata Pengerusi CFM, Megat Ishak Maamunor Rashid.

TAHUN PENGGUNAAN DATA PERAYAUAN PENGGUNAAN PANGGILAN PERAYAUAN JUMLAH
2012 34 15 49
2013 50 35 85
2014 49 38 87
2015 54 35 90
2016
(Januari-Julai)
214 34 248

Tambah Megat Ishak, CFM akan sentiasa berusaha bagi memastikan pengguna mendapat maklumat yang tepat dan hak-hak mereka terus dipelihara dengan menjalankan pemantauan secara berterusan ke atas perkhidmatan yang diberikan oleh penyedia perkhidmatan dan menangani sebarang pelanggaran Kod Amalan Am Pengguna untuk Industri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (GCC).

GCC adalah satu kod amalan yang perlu dipatuhi semua penyedia perkhidmatan Komunikasi dan Multimedia di Malaysia dengan objektif untuk menyediakan garis panduan dan amalan terbaik bagi memastikan perkhidmatan yang terbaik dan adil dapat diberikan kepada pengguna.

Bagi memastikan jemaah haji Malaysia tidak perlu risau tentang bil telefon mereka sebaik pulang ke tanah air, mereka perlu memahami bagaimana panggilan suara dan data perayauan antarabangsa berfungsi serta tahu caj yang akan dikenakan bagi perkhidmatan berkenaan menggunakan pelan mudah alih yang digunakan mereka. Perkara ini amat penting kerana pengguna bertanggungjawab ke atas semua caj yang dikenakan ketika berada di luar negara kerana ia bukan sahaja melibatkan perkhidmatan dari penyedia perkhidmatan mereka di Malaysia tetapi juga rakan perayauan antarabangsa di negara yang mereka lawati. CFM menyarankan kepada pengguna untuk merujuk kepada penyedia perkhidmatan masing-masing bagi mendapatkan maklumat lanjut tentang perkara ini. Pengguna juga boleh mencari alternatif lain untuk terus berhubung dengan keluarga dan rakan-rakan semasa berada di luar negara.

TIP PERAYAUAN ANTARABANGSA BAGI JEMAAH HAJI MALAYSIA
1 Sentiasa merujuk kepada penyedia perkhidmatan anda sebelum memulakan perjalanan ke luar negara supaya anda tahu dan mendapat maklumat yang tepat mengenai caj yang akan dikenakan. Anda tidak akan dikecualikan daripada membayar caj tersebut walaupun anda benar-benar tidak tahu.
2 Kebanyakan penyedia perkhidmatan di Malaysia mempunyai rakan perayauan antarabangsa di semua negara yang anda lawati dan biasanya mereka menyediakan pakej khas kadar rata bagi panggilan suara dan data apabila anda disambungkan kepada mereka. Nyahaktifkan “SAMBUNGAN AUTOMATIK KE RANGKAIAN” dan pastikan anda sentiasa disambungkan kepada rakan perayauan penyedia perkhidmatan anda untuk menikmati kadar utama ini.
3 Jika anda hanya mahu menerima panggilan dan SMS semasa berada di luar negara, anda boleh memilih untuk NYAHAKTIFKAN DATA PERAYAUAN sepenuhnya.
4 Jika anda ingin terus berhubung hanya menggunakan WiFi , anda boleh memilih untuk menukar mod telefon pintar anda ke mod “AIRPLANE” atau “KAPAL TERBANG” dan gunakan sepenuhnya WiFi awam yang anda boleh dapati.
5 Untuk mengurangkan kos data perayauan, nyahaktifkan data perayauan dan hanya gunakan WiFi untuk berhubung. Terdapat banyak aplikasi mudah alih yang dapat membantu anda untuk melakukannya dan berhubunglah dengan orang tersayang apabila anda mendapat sambungan WiFi percuma atau menggunakan WiFi yang mengenakan caj berpatutan. Beberapa hotel dan tempat awam menyediakan WiFi kepada tetamu.
6 Sebagai alternatif untuk mendapatkan pilihan yang lebih murah, anda boleh dapatkan kad sim tempatan sebaik tiba di Arab Saudi. Lakukan sedikit kajian mengenai pelan yang disediakan dan pilih pakej kad sim yang terbaik dan sesuai dengan penggunaan anda sepanjang berada di sana.
7 Anda juga boleh membeli kad sim antarabangsa yang dijual di Malaysia melalui dalam talian atau di lapangan terbang. Ia mungkin mempunyai pakej yang memenuhi keperluan anda selain dapat mengurangkan kerumitan anda untuk mendaftar kad sim semasa di luar negara.
8 Sebelum anda meninggalkan Malaysia, sila pastikan anda telah membuat salinan semua kenalan dan data penting dalam telefon anda, sekiranya anda kehilangan telefon ketika berada di sana. Selain itu, ia amat berguna jika anda dapat membawa telefon ganti yang lebih murah untuk menggunakannya bagi kad sim tempatan untuk anda menerima atau membuat panggilan penting. Anda boleh menggunakan telefon pintar anda untuk sambungan WiFi sahaja.

Jika terdapat sebarang aduan yang tidak dapat diselesaikan, pengguna boleh menghantar sebarang pertanyaan dan cadangan melalui semua saluran CFM, sama ada menghubungi talian bebas tol CFM, 1-800-18-2222 atau emel atau melalui portal aduan kami. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web CFM di www.cfm.my atau emel ke enquiries@cfm.org.my

– TAMAT –

Mengenai CFM

CFM merupakan sebuah badan organisasi bebas yang ditubuhkan pada bulan Februari 2001 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) selaras dengan keperluan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM) di Malaysia untuk melindungi hak pengguna dalam sektor tersebut dan memudahkan kawal selia kendiri industri.

CFM bukan sahaja menyediakan ruang dan saluran untuk melaporkan aduan, tetapi juga bekerjasama dengan wakil daripada persatuan pengguna, syarikat penyedia perkhidmatan dan pihak-pihak lain yang berminat bagi merangka, membangun dan menyediakan kod-kod untuk melindungi hak-hak pengguna selain mencadangkan prosedur untuk pampasan dan tindakan kepada pelanggan sekiranya terdapat pelanggaran kepada Kod Amalan Am Pengguna (GCC) untuk Industi Komunikasi & Multimedia Malaysia. Kod tersebut telah diterbitkan pada tahun 2003.

CFM juga dalam usaha untuk mempromosi dan menggalakkan perkhidmatan dan pengendalian bermutu serta berprestasi tinggi dalam industri Komunikasi dan Multimedia. Pada masa yang sama, CFM berusaha untuk meningkatkan keyakinan dan pemahaman pengguna berkaitan perkhidmatan yang ditawarkan.

Pengguna yang tidak berpuas hati terhadap resolusi aduan yang telah dilaporkan kepada penyedia perkhidmatan komunikasi dan multimedia mereka, boleh mengemukakan aduan dengan melayari portal aduan CFM, www.complaint.cfm.org.my atau menghubungi talian bebas tol 1-800-18-2222. Untuk maklumat lanjut, lawati laman web CFM diwww.cfm.my atau emel kepada enquiries@cfm.org.my

Pegawai Perhubungan Media:

Noor Shahdiella Abd Manan shahdiella@cfm.my 019-3246036
Roharrashidah Abdul Halil roharrashidah@cfm.my 017-8961588
Razaleigh Zain razaleigh@cfm.my 019-4170766

Cadangan Artikel

LANGKAH-LANGKAH MEMBUAT ADUAN DI MY MOBILE RIGHTS

SEKARANG, MELALUI APLIKASI MMR, ADUAN YANG DILAPORKAN OLEH PENGGUNA AKAN TERUS DIKEMUKAKAN KEPADA PENYEDIA PERKHIDMATAN …

SOALAN LAZIM (FAQ) APLIKASI MY MOBILE RIGHTS (MMR)

APA ITU APLIKASI MY MOBILE RIGHTS (MMR)?   MMR adalah sebuah aplikasi mudah alih yang …

Ingin Komen?