Jabatan Aduan CFM membantu menangani salah satu masalah yang paling mengganggu pengguna di Malaysia iaitu: Liputan Perkhidmatan yang tidak memuaskan.

S : Saya mengalami liputan rangkaian yang teruk sejak enam bulan yang lalu dan ini satu perkara yang serius. Panggilan masuk atau keluar tidak dapat dibuat dan SMS juga tidak dapat diterima pada kebanyakan masa, walaupun terdapat pencawang di kawasan berdekatan. Semasa mendaftar untuk perkhidmatan ini, saya fikir saya akan mendapat liputan yang terbaik di kawasan saya. Saya tidak dimaklumkan tentang penerimaan isyarat rangkaian di kawasan saya adalah teruk dan kerap tiada isyarat untuk saya mempertimbangkan sebelum melanggan perkhidmatan ini. Jika situasi ini berterusan, saya mungkin akan memikirkan semula pilihan saya. Tolong bantu saya mengenai pilihan lain yang saya ada.

J : Pengadu boleh membuat aduan kepada penyedia perkhidmatan, kemudian menunggu penyedia perkhidmatan untuk menaik taraf perkhidmatan mereka atau pengadu boleh memilih untuk bertukar kepada penyedia perkhidmatan yang lain. Pada masa ini, penyedia perkhidmatan wajib memberikan semua maklumat yang diperlukan kepada bakal pelanggan mereka agar pelanggan boleh membuat keputusan yang sewajarnya. Penyedia perkhidmatan perlu memberikan latihan yang khusus kepada pegawai pelanggan mereka agar dilengkapi dengan pengetahuan dan maklumat untuk menjawab sebarang pertanyaan daripada pelanggan. Pengguna mempunyai hak untuk menerima maklumat lengkap mengenai sesuatu produk atau perkhidmatan sebagai rujukan asas sebelum membuat keputusan.

Apakah masalah berkaitan liputan perkhidmatan yang tidak memuaskan?
Mudah alih/Selular (2G) Tiada perkhidmatan, panggilan terputus akibat titik buta, sambungan panggilan terputus-putus akibat kesesakan talian, kelewatan menerima dan menghantar SMS.
3G/4G (tanpa wayar) Isyarat 3G/4G yang lemah/tiada (i.e. panggilan video, jalur lebar mudah alih)
Jalur lebar (Berwayar/ Tanpa Wayar) perkhidmatan jalur lebar yang lemah/tiada, kesesakan rangkaian
Talian tetap Tiada perkhidmatan talian tetap di kawasan tersebut
Transmisi radio Isyarat radio tidak jelas
Telefon awam kerosakan atau tiada kemudahan telefon awam
Transmisi TV Isyarat TV yang lemah/tiada
Jika anda menghadapi masalah-masalah seperti berikut dengan penyedia perkhidmatan yang anda langgan, anda boleh melaporkan aduan kepada penyedia perkhidmatan atau kepada CFM.
Anda ada pertanyaan atau pertikaian mengenai talian tetap, perkhidmatan mudah alih, Internet, TV atau radio? Hantarkan aduan anda kepada CFM melalui e-mel di aduan@cfm.org.my. Aduan terpilih dan penyelesaian daripada CFM akan dikongsikan di bahagian ini agar pembaca dapat memahami tentang hak mereka sebagai pengguna.

Sumber : SHOUT Q1 2017, MEJA BANTUAN CFM

 * * * 

Anda suka artikel, tip ini? Kongsikan di FacebookTwitter, dan Instagram anda. ‘Follow’ kami untuk ketahui lebih banyak tip & info terkini mengenai komunikasi & multimedia. 

~consumerinfo.my :: another website by Communications & Multimedia Consumer Forum of Malaysia (CFM)~