KUALA LUMPUR – Bagi memenuhi keperluan Kerajaan mengenai pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (Goods and Services Tax – GST), barang-barang dan perkhidmatan yang digunakan dalam sektor telekomunikasi akan tertakluk kepada GST berkuat kuasa 1 April 2015. Pelaksanaan GST merupakan sebahagian daripada program pembaharuan cukai kerajaan untuk meningkatkan keupayaan, keberkesanan dan ketelusan pentadbiran dan pengurusan cukai negara. GST akan menggantikan kedua-dua Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan pada 1 April 2015.

Perkhidmatan komunikasi mudah alih adalah satu item terkadar standard di bawah Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (Akta GST) 2014, dan sejak perkhidmatan komunikasi mudah alih adalah tidak dikecualikan GST atau berkadar sifar, industri diperlukan mengenakan caj GST 6%.

Bermula hari ini, Cukai Perkhidmatan 6% ke atas perkhidmatan pascabayar akan digantikan dengan GST 6%.

Untuk perkhidmatan prabayar, harga dan masa keudara (airtime) bersamaan untuk Pek SIM, Pek Permulaan dan Kupon Tambah Nilai dikekalkan. Walau bagaimanapun, seperti dalam Akta GST 2014, syarikat-syarikat telekomunikasi dikehendaki mengenakan GST 6% ke atas harga ini. GST 6% dikutip bagi pihak Kerajaan mengikut Undang-Undang dan garis panduan GST bagi semua barangan dan perkhidmatan yang digunakan.

Pihak kerajaan telah mengklasifikasikan perkhidmatan perayauan antarabangsa yang disediakan oleh semua syarikat-syarikat telekomunikasi Malaysia sebagai pembekalan berkadar sifar. Oleh itu, semua perkhidmatan perayauan antarabangsa tidak akan tertakluk kepada GST.

GST 6% juga akan digunakan pada peranti mudah alih seperti tablet dan telefon pintar, kandungan tertentu, aplikasi, serta produk dan perkhidmatan telekomunikasi yang lain.

Sebagai forum bekalan dan permintaan yang menggalakkan industri pengawalan sendiri, Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Communications and Multimedia Consumer Forum of Malaysia – CFM) yakin bahawa semua pemain dalam sektor komunikasi dan multimedia akan memastikan pelaksanaan yang lancar dan cekap bagi GST ke atas barangan dan perkhidmatan mereka. Di pihak mereka dan melalui Kod Amalan Pengguna Am bagi Industri Komunikasi dan Multimedia (General Consumer Code of Practice for the Communications & Multimedia Industry – “GCC”), CFM akan terus memastikan kepentingan dan hak-hak pengguna dalam sektor telekomunikasi dan multimedia dijaga.

Memandangkan pelaksanaan GST yang mandatori ini, CFM telah menyediakan satu set Soalan Lazim (Frequently Asked Questions – FAQ) yang disediakan kepada pelanggan. Pelanggan boleh membacanya di www.cfm.my dan alamat Facebook consumer.forum.malaysia. Pengguna dinasihatkan untuk menghubungi penyedia perkhidmatan masing-masing untuk pertanyaan khusus mengenai pelaksanaan GST.

Melalui aktiviti yang sedang dijalankan oleh CFM seperti Sesi Perkongsian Pengetahuan (Knowledge Sharing Sessions) yang diadakan di seluruh negara, ia menjangka para pengguna akan meningkatkan pengetahuan dan pemahaman tentang hak dan tanggungjawab mereka berhubung dengan pembelian dan penggunaan barangan dan perkhidmatan daripada industri komunikasi dan multimedia secara amnya.

_______________________________TAMAT________________________________

Mengenai CFM

CFM merupakan sebuah badan organisasi bebas yang ditubuhkan pada bulan Februari 2001 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) selaras dengan keperluan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM) di Malaysia untuk melindungi hak pengguna dalam sektor tersebut dan memudahkan kawal selia kendiri industri.

CFM bukan sahaja menyediakan ruang dan saluran untuk melaporkan aduan, tetapi juga bekerjasama dengan wakil daripada persatuan pengguna, syarikat penyedia perkhidmatan dan pihak-pihak lain yang berminat bagi merangka, membangun dan menyediakan kod-kod untuk melindungi hak-hak pengguna selain mencadangkan prosedur untuk pampasan dan tindakan kepada pelanggan sekiranya terdapat pelanggaran kepada Kod Amalan Am Pengguna (GCC) untuk Industi Komunikasi & Multimedia Malaysia. Kod tersebut telah diterbitkan pada tahun 2003.

CFM juga dalam usaha untuk mempromosi dan menggalakkan perkhidmatan dan pengendalian bermutu serta berprestasi tinggi dalam industri Komunikasi dan Multimedia. Pada masa yang sama, CFM berusaha untuk meningkatkan keyakinan dan pemahaman pengguna berkaitan perkhidmatan yang ditawarkan.

Pengguna yang tidak berpuas hati terhadap resolusi aduan yang telah dilaporkan kepada penyedia perkhidmatan komunikasi dan multimedia mereka, boleh mengemukakan kes tuntutan dengan menghubungi CFM di talian bebas tol 1 800 18 2222; atau boleh melaporkan aduan secara online di portal www.complaint.cfm.org.my atau e-mel kepada aduan@cfm.org.my.

Pegawai Perhubungan Media:

Noor Shahdiella Abd Manan shahdiella@cfm.my 019-3246036
Roharrashidah Abdul Halil roharrashidah@cfm.my 016-9642972
Razaleigh Zain razaleigh@cfm.my 019-4170766