KUALA LUMPUR, 28 DISEMBER 2015 – Selaras dengan pengumuman Kerajaan semasa Belanjawan 2016 pada bulan Oktober, syarikat-syarikat telekomunikasi akan memberikan rebat kepada pelanggan prabayar individu yang merupakan warganegara Malaysia, selama satu tahun sepanjang 2016. Rebat yang bersamaan dengan jumlah GST akan dikreditkan terus ke dalam akaun prabayar mereka, berkuatkuasa 1 Januari 2016 hingga 31 Disember 2016.

Ini bermakna pelanggan yang menambah nilai RM10, pada mulanya akan mendapat kredit sebanyak RM9.43, di mana GST 6% akan ditolak daripada tambah nilai tersebut. Pelanggan akan menerima rebat sebanyak RM0.57 dalam tempoh 24 jam. GST yang dibayar oleh pelanggan akan dikumpul dan dibayar kepada Jabatan Kastam, selaras dengan Undang-Undang dan garis panduan GST bagi semua barangan dan perkhidmatan yang digunakan.

Syarikat-syarikat telekomunikasi telah berusaha untuk memastikan proses peralihan berjalan lancar supaya pelanggan tidak menghadapi sebarang masalah apabila membuat tambah nilai. Syarikat-syarikat telekomunikasi juga telah dan akan terus melabur secara berterusan dalam menaik taraf rangkaian negara untuk memastikan pelanggan memperoleh pengalaman yang berkualiti.

Untuk rujukan orang ramai, soalan lazim (FAQ) mengenai rebat GST boleh didapati di laman web Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) dihttp://cfm.org.my/ms/news-events/20151228/faq-mekanisme-pelaksanaan-gst-untuk-prabayar-bagi-2016

______________________________TAMAT_________________________________

Mengenai CFM
CFM merupakan sebuah badan organisasi bebas yang ditubuhkan pada bulan Februari 2001 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) selaras dengan keperluan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM) di Malaysia untuk melindungi hak pengguna dalam sektor tersebut dan memudahkan kawal selia kendiri industri.

CFM bukan sahaja menyediakan ruang dan saluran untuk melaporkan aduan, tetapi juga bekerjasama dengan wakil daripada persatuan pengguna, syarikat penyedia perkhidmatan dan pihakpihak lain yang berminat bagi merangka, membangun dan menyediakan kod-kod untuk melindungi hak-hak pengguna selain mencadangkan prosedur untuk pampasan dan tindakan kepada pelanggan sekiranya terdapat pelanggaran kepada Kod Amalan Am Pengguna (GCC) untuk Industi Komunikasi & Multimedia Malaysia. Kod tersebut telah diterbitkan pada tahun 2003.

CFM juga dalam usaha untuk mempromosi dan menggalakkan perkhidmatan dan pengendalian bermutu serta berprestasi tinggi dalam industri Komunikasi dan Multimedia. Pada masa yang sama, CFM berusaha untuk meningkatkan keyakinan dan pemahaman pengguna berkaitan perkhidmatan yang ditawarkan.

Pengguna yang tidak berpuas hati terhadap resolusi aduan yang telah dilaporkan kepada penyedia perkhidmatan komunikasi dan multimedia mereka, boleh mengemukakan aduan dengan melayari portal aduan CFM, www.complaint.cfm.org.my atau menghubungi talian bebas tol 1-800-18-2222. Untuk maklumat lanjut, lawati laman web CFM di www.cfm.my atau emel kepada enquiries@cfm.org.my.

Pegawai Perhubungan Media:

Noor Shahdiella Abd Manan shahdiella@cfm.my 019-3246036
Roharrashidah Abdul Halil roharrashidah@cfm.my 016-9642972
Razaleigh Zain razaleigh@cfm.my 019-4170766