CYBERJAYA, 7 OGOS 2017 – Pengguna perlu memahami penggunaan telefon pintar walaupun berada jauh dari tanah air untuk terus berhubung dengan keluarga dan rakan-rakan agar bil bayaran telefon tidak melambung tinggi. Musim haji telah tiba dan pada tahun ini melibatkan sejumlah 30,200 jemaah haji Malaysia yang akan ke Tanah Suci. Menyedari jemaah haji juga merupakan antara pengguna telekomunikasi, Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) berkongsi beberapa tips perayauan antarabangsa yang boleh dijadikan panduan oleh jemaah haji semasa berada di sana. Dengan adanya perkhidmatan perayauan antarabangsa yang ditawarkan oleh Penyedia Perkhidmatan, pengguna boleh membuat panggilan ke Malaysia, menghantar berita terkini melalui aplikasi mesej segera seperti WhatsApp dan mengetahui berita terkini melalui media sosial dengan mudah walaupun berada di luar negara. Namun, pengguna perlu memahami bagaimana panggilan suara dan data perayauan antarabangsa berfungsi serta tahu jumlah caj penggunaan yang dikenakan ketika berada di luar negara. Pengguna juga boleh mendapatkan alternatif lain yang boleh digunakan agar pengguna dapat mengawal perbelanjaan semasa menggunakan perkhidmatan tersebut. Berikut adalah tip CFM buat pengguna tentang penggunaan perkhidmatan telekomunikasi ketika berada di luar negara bagi mengelak daripada menerima kejutan bil telefon apabila pulang ke tanah air:

  TIPS PENGGUNAAN DATA / PANGGILAN PERAYAUAN ANTARABANGSA BAGI JEMAAH HAJI MALAYSIA
TIPS 1 Rujuk Penyedia Perkhidmatan anda sebelum memulakan perjalanan ke luar negara Ini adalah untuk memastikan anda mendapat maklumat yang tepat mengenai caj yang akan dikenakan. Anda tidak akan dikecualikan daripada membayar caj tersebut walaupun anda benar-benar tidak tahu.
TIPS 2 Buat salinan semua kenalan dan data penting dalam telefon anda sebelum meninggalkan Malaysia Ini adalah sebagai langkah keselamatan sekiranya anda kehilangan telefon ketika berada di sana. Anda juga boleh memuatnaik maklumat penting ini dan menyimpannya di dalam storan atas talian untuk capaian mudah dari mana sahaja.
TIPS 3 Elak gunakan dua kad sim dalam satu telefon bimbit   Anda tidak digalakkan menggunakan cara ini jika anda tidak biasa dengan Tetapan telefon yang perlu diubah. Gunakan telefon bimbit yang lain bagi setiap kad sim. Anda juga disarankan agar membawa telefon bimbit kedua bagi penggunaan kad sim tempatan untuk menerima atau membuat panggilan penting ketika berada di Tanah Suci. Manakala telefon pintar anda boleh digunakan untuk sambungan Wi-Fi sahaja.
TIPS 4 Beli kad sim antarabangsa yang dijual di Malaysia melalui dalam talian atau di lapangan terbang Terdapat kad sim antarabangsa yang dijual di Malaysia yang mungkin mempunyai pakej yang dapat memenuhi keperluan anda selain dapat mengurangkan kerumitan anda untuk mendaftar kad sim semasa di luar negara.
TIPS 5 Dapatkan kad sim tempatan sebaik tiba di Arab Saudi sebagai alternatif untuk mendapatkan pilihan yang lebih murah   Lakukan sedikit kajian mengenai pelan yang disediakan di sana, dan pilih pakej kad sim yang terbaik serta sesuai dengan penggunaan anda sepanjang berada di sana.
TIPS 6 Nyahaktifkan “Sambungan Automatik ke Rangkaian” Kebanyakan penyedia perkhidmatan di Malaysia mempunyai rakan perayauan antarabangsa  di semua negara yang anda lawati dan biasanya mereka menyediakan pakej khas kadar rata bagi panggilan suara dan data apabila anda disambungkan kepada mereka. Nyahaktifkan “SAMBUNGAN AUTOMATIK KE RANGKAIAN” dan pastikan anda sentiasa disambungkan kepada rakan perayauan penyedia perkhidmatan anda untuk menikmati pakej khas ini.
TIPS 7 Tukar mod “Airplane” atau “Kapal Terbang” dan gunakan Wi-Fi Jika anda ingin terus berhubung hanya menggunakan Wi-Fi, anda boleh memilih untuk menukar mod telefon pintar anda ke mod “AIRPLANE” atau “KAPAL TERBANG” dan gunakan Wi-Fi awam yang anda boleh dapati di sana.
TIPS 8 Gunakan aplikasi seperti WhatsApp ketika menerima panggilan semasa berada di luar negara   Jika anda hanya mahu menerima panggilan dan SMS semasa berada di luar negara, anda boleh memilih untuk menggunakan aplikasi seperti “WhatsApp Call/Video Call” dan gunakan Wi-Fi sahaja.  

Menurut Pengerusi CFM, Megat Ishak Maamunor Rashid, perkongsian tips ini adalah untuk memberikan pengguna maklumat yang tepat selain dapat terus berhubung dengan orang tersayang walaupun berada di Tanah Suci tanpa dikenakan caj berlebihan. “CFM menyarankan pengguna terutama bagi jemaah haji yang akan berada lama di Tanah Suci agar tahu langkah-langkah yang perlu diambil sebelum dan semasa berada di luar negara untuk menggunakan perkhidmatan telekomunikasi. Perkara ini amat penting kerana pengguna yang akan bertanggungjawab ke atas semua caj yang dikenakan ke atas mereka ketika berada di luar negara kerana ia bukan sahaja melibatkan perkhidmatan dari penyedia perkhidmatan mereka di Malaysia tetapi rakan perayauan antarabangsa di negara yang dilawati,” kata Megat Ishak. Mengikut rekod CFM, terdapat peningkatan ketara setiap tahun bagi jumlah aduan mengenai perayauan antarabangsa. CFM telah menerima sebanyak 796 aduan mengenai caj panggilan suara dan data perayauan dari tahun 2012 sehingga Julai 2017.

TAHUN PENGGUNAAN DATA PERAYAUAN PENGGUNAAN PANGGILAN PERAYAUAN JUMLAH ADUAN
2012 34 15 49
2013 50 35 85
2014 49 38 87
2015 54 36 90
2016 312 72 384
2017 (Jan – Julai) 55 46 101

Tambah Megat Ishak, CFM akan sentiasa berusaha memastikan hak-hak pengguna terus dipelihara dengan menjalankan pemantauan secara berterusan ke atas perkhidmatan yang diberikan oleh penyedia perkhidmatan dan menangani sebarang pelanggaran Kod Amalan Am Pengguna untuk Industri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (GCC). GCC adalah satu kod amalan yang perlu dipatuhi semua Penyedia Perkhidmatan Komunikasi dan Multimedia di Malaysia dengan objektif untuk menyediakan garis panduan dan amalan terbaik bagi memastikan perkhidmatan yang terbaik dan adil dapat diberikan kepada pengguna. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang isu yang tidak diselesaikan, pengguna boleh menghubungi talian bebas tol CFM, 1-800-18-2222 atau emel ke aduan@cfm.org.myCFM mengucapkan selamat menjalani ibadah haji kepada semua jemaah haji Malaysia dan semoga semua urusan ibadah dipermudahkan serta mendapat haji yang mabrur. 

#HakAndaKeutamaanKami 

#JadilahPenggunaYangBijak